
KUALA LUMPUR – Punca kematian orang kena tahan (OKT) yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 1 Oktober lalu masih belum dimuktamadkan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihak polis masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia dan keputusan pemeriksaan patologi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata, siasatan kini dikendalikan sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
“Punca kematian buat masa ini masih belum dimuktamadkan dan kita masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia serta keputusan rasmi patologi.
“Justeru, kita meminta semua pihak bersabar dan memberikan ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan secara terperinci dengan mengambil kira semua bukti yang diperlukan,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Fadil berkata, lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu meninggal dunia kira-kira pukul 1.52 pagi ketika menerima rawatan selepas dibawa ke hospital kerana dilaporkan tidak sihat semasa dalam tahanan.
Beliau berkata, siasatan kematian dalam tahanan itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian.
Dalam pada itu, beliau berkata, OKT mempunyai tiga rekod tangkapan membabitkan dua kes narkotik dan jenayah.
Katanya, tangkapan pertama melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, namun kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) diberikan kerana OKT didapati tidak mempunyai kawalan dan pemilikan terhadap dadah yang dirampas.
“Tangkapan kedua pula membabitkan siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan berhubung kes pecah rumah di daerah Cheras.
“Siasatan berkenaan membawa kepada arahan pertuduhan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan sebelum keputusan NFA diberikan pada 6 Oktober lalu berikutan kematian suspek,” ujarnya.
Fadil menambah, satu lagi tangkapan membabitkan kes curi patung Buddha di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, dengan keputusan NFA turut diberikan selepas kematian lelaki berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan rekod mendapati lelaki terbabit mempunyai 44 rekod jenayah terdahulu, terdiri daripada 18 rekod berkaitan narkotik dan 26 rekod kesalahan jenayah.
Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh tahanan, Fadil berkata, pengendalian OKT dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan pihak polis.
Beliau turut mengesahkan tiada anggota polis ditahan berhubung kes berkenaan setakat ini.
“Kita mengingatkan semua pihak supaya bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan atau ulasan kerana penyebaran maklumat tidak sahih boleh mengelirukan serta menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Kita juga mengalu-alukan sebarang maklumat tambahan daripada orang awam bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Punca kematian OKT dalam tahanan belum muktamad appeared first on Kosmo Online.




