Punca remaja ganas

Family & Parenting
17 Oct 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Punca remaja ganas

TAHAP keselamatan di sekolah serta perubahan tingkah laku dalam kalangan remaja menimbulkan kebimbangan rentetan kes keganasan serius membabitkan pelajar termasuk kejadian tikam dan bunuh dalam tempoh berdekatan.

Ia bukan sahaja membawa kepada kecederaan serius, malah dalam sesetengah kes meragut nyawa sehingga mencetuskan persoalan sama ada insiden sebegini masih boleh dianggap terpencil.

Menurut Pakar Kriminologi dan Psikologi, Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Geshina Ayu, apabila beberapa kejadian yang hampir sama berlaku dalam tempoh berdekatan, ia lazimnya dilihat sebagai isyarat amaran yang memerlukan perhatian serius.

Jelasnya, dalam banyak kes keganasan remaja, ia bukan daripada satu faktor sahaja.

“Ia selalunya melibatkan gabungan pelbagai elemen seperti tekanan emosi, konflik dengan rakan sebaya atau pasangan cinta, masalah kesihatan mental, pengaruh persekitaran, buli dan kegagalan mengesan tanda-tanda awal perubahan tingkah laku.

“Persoalan lebih penting ketika ini bukan sama ada kes berkenaan masih boleh dilabel sebagai kejadian terpencil, sebaliknya sama ada faktor risiko semakin ketara dalam kalangan remaja,” katanya.

Katanya, sekiranya tanda awal itu diabaikan, tidak mustahil kejadian serupa akan terus berulang.

“Dari perspektif kriminologi, rentetan kes ini mungkin belum boleh ditakrifkan sebagai satu trend jenayah yang jelas.

“Namun, ia sudah cukup membimbangkan untuk dianggap sebagai petunjuk awal bahawa usaha pencegahan, pemantauan dan intervensi terhadap golongan remaja perlu diperkasakan sebelum masalah menjadi lebih serius,” katanya.

Mengulas faktor yang boleh mendorong seorang pelajar membawa senjata serta mencederakan individu lain, Geshina berkata, dalam kebanyakan kes, tindakan sedemikian biasanya berlaku hasil gabungan beberapa tekanan dan masalah yang terkumpul dalam diri seseorang remaja dalam tempoh tertentu.

Katanya, antara faktor yang sering dikaitkan secara bersama adalah konflik dengan rakan sebaya, isu buli sama ada membuli, menjadi mangsa atau saksi, emosi, kesihatan mental, pengaruh sosial dan media sosial, persekitaran keluarga, pembelajaran melalui pemerhatian serta persekitaran prokekerasan atau jenayah.

Jelasnya lagi, konflik dengan rakan sebaya dan isu buli sering menjadi antara faktor paling kerap dikaitkan dengan kejadian keganasan di sekolah khususnya apabila pelajar berasa dihina, dipulaukan atau ditolak secara berterusan.

“Pada masa sama, aspek emosi dan kesihatan mental tidak boleh diketepikan. Ada remaja yang berdepan tekanan emosi, kemurungan atau kesukaran mengawal kemarahan, tetapi masalah tersebut mungkin tidak disedari oleh keluarga, guru atau rakan-rakan.

“Pengaruh sosial dan media sosial juga wajar diberi perhatian,” katanya.

Geshina berkata, penyelesaian terhadap isu berkenaan perlu memberi keutamaan kepada pengesanan awal dan intervensi.

“Pelajar mungkin menunjukkan perubahan emosi yang ketara, pengasingan sosial, konflik berpanjangan dengan rakan sebaya, masalah disiplin yang semakin serius, tekanan keluarga, pembelian bahan-bahan untuk melakukan jenayah atau pendedahan kepada pengaruh negatif.

Katanya, penyelesaian lebih mampan adalah mewujudkan sistem pencegahan berlapis merangkumi pengesanan awal, intervensi kaunseling, pendidikan sosial dan emosi, penglibatan aktif ibu bapa serta kerjasama berterusan.

“Pencegahan yang paling berkesan ialah mengenal pasti faktor risiko dan bertindak sebelum berlaku,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Punca remaja ganas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved