TNB beri kerjasama siasat kes 3 remaja terkena percikan elektrik dalam perarakan bendera di Alor Setar

14 Oct 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB beri kerjasama siasat kes 3 remaja terkena percikan elektrik dalam perarakan bendera di Alor Setar Image from: TNB beri kerjasama siasat kes 3 remaja terkena percikan elektrik dalam perarakan bendera di Alor Setar amree14/10/2026 - 10:20 PETUGAS perubatan membantu mangsa insiden di Alor Setar, Kedah. - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt — Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut untuk mengenal pasti keadaan sebenar insiden percikan elektrik yang mencederakan tiga remaja di Alor Setar, Kedah.

 

Kumpulan utiliti tersebut menerusi hantaran dalam akaun media sosial rasminya berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku apabila tiang bendera yang dibawa oleh peserta perarakan berkenaan menghampiri talian penghantaran elektrik voltan tinggi.

 

Situasi tidak dijangka tersebut mencetuskan percikan arka elektrik. Menurut laporan media, insiden berkenaan terjadi kira-kira pukul 9 malam 13 Oktober 2026 ketika ribuan peserta menyertai perarakan keagamaan anjuran Tokong Sayur di jalan utama kawasan Mergong.

 

"TNB justeru menzahirkan perasaan amat simpati atas kejadian melibatkan tiga orang awam tersebut, dan turut mendoakan agar semua mangsa yang sedang menerima rawatan di hospital diberikan kesembuhan segera," jelas kenyataan kumpulan berkenaan.

 

Susulan insiden tersebut, TNB turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri ketika menjalankan aktiviti luar, khususnya yang melibatkan penggunaan objek tinggi berhampiran dengan infrastruktur elektrik.

 

elektrik_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Orang ramai dinasihatkan memastikan objek seperti tiang bendera berada pada jarak selamat daripada talian elektrik bagi mengelakkan risiko arka elektrik yang boleh menyebabkan kecederaan serius, walaupun objek berkenaan tidak menyentuh talian secara langsung.

 

Maklumat lanjut mengenai langkah keselamatan apabila berada berdekatan dengan talian penghantaran elektrik boleh diperoleh menerusi laman web rasmi TNB iaitu di [https://www.tnb.com.my/transmissionlinessafety](https://www.tnb.com.my/transmissionlinessafety).

 

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan bendera yang dibawa oleh salah seorang remaja berkenaan dipercayai ditiup angin kencang ketika hujan renyai sebelum kejadian berlaku. Ketiga-tiga mangsa tersebut berusia dalam lingkungan 16 tahun dan 17 tahun.

 

Menurut Setiausaha Persatuan Tokong Sayur Mergong, Chah Boon Chuan, batang bendera yang digunakan mereka untuk membawa bendera tersebut hanya diperbuat daripada buluh dan ini merupakan kejadian kali pertama berlaku yang melibatkan kemalangan.

 

Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan ditempatkan di Zon Merah bagi pemantauan serta rawatan lanjut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved