
Punca X90 Terbakar Bukan Daripada Bateri Hibrid – Proton
Proton Holdings Bhd (Proton) menjelaskan bahawa insiden kenderaan utiliti sukan (SUV) X90 yang terbakar dan tular di media sosial baru-baru ini bukan berpunca daripada bateri hibrid (48v).
Syarikat itu dalam dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka sedang menjalankan siasatan yang teliti berkenaan kejadian tersebut.
Selain itu, Proton juga dikatakan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat dan menentukan punca kejadian tersebut.
“Kami mengambil maklum berhubung insiden berkenaan dan kenderaan tersebut kini berada dalam simpanan Proton.
“Kami ingin menjelaskan bahawa tiada letupan yang disebabkan oleh bateri hibrid (48v) Proton X90,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut kenyataan itu lagi, Proton memahami kebimbangan orang berkenaan kejadian terbakar tersebut.
Mereka juga memohon kerjasama daripada orang ramai untuk mengelak daripada terlibat dalam perbincangan spekulatif berkaitan kejadian tersebut.
“Kualiti dan keselamatan produk adalah keutamaan kami, sekali gus ingin meyakinkan pengguna semua model syarikat ini dibangunkan untuk memenuhi piawaian tertinggi.
“Setiap unit menjalani pemeriksaan kualiti dan keselamatan yang ketat sebelum dihantar kepada kami,” ujarnya.
Semalam, tular di media sosial berkenaan sebuah video berdurasi tiga minit yang memaparkan bahagian dalam kereta Proton X90 berasap dan terbakar.
Proton Umum X90 Kenderaan Tenaga Baharu Pertamanya
Terdahulu, pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) mengumumkan X90 sebagai nama rasmi bagi kenderaan tenaga baharu pertamanya (NEV).
Model X90 itu adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketiga Proton selepas X70 dan X50 dan dibangunkan bagi memenuhi segmen premium, moden serta keluarga.
Ketua Pegawai Esekutif Proton Dr Li Chunrong berkata kejayaan memperkenalkan X90 juga amat bermakna kerana dibuat ketika sambutan ulang tahun ke-40 Proton.
Selain itu, ia juga menjadi permulaan bagi kehadiran lebih banyak model NEV di masa-masa akan datang.
“Ini juga seiring dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kenderaan generasi akan datang.
“Selain itu, ia juga membuktikan bahawa biarpun selepas empat dekad, Proton masih memainkan peranan utama dalam membangunkan industri automotif tempatan,” katanya pada majlis previu X90 untuk media.
Sumber: Sinar Harian
The post Punca X90 Terbakar Bukan Daripada Bateri Hibrid – Proton appeared first on Siakap Keli.

