
TIDAK semua perkara hadir dalam hidup sebagai ujian untuk ditakuti. Ada waktunya, sebuah peringatan kecil daripada tubuh mampu membuka pintu kepada perubahan besar, malah menemukan seseorang dengan sisi diri sendiri tidak pernah disedari sebelum ini.
Begitulah perjalanan penyanyi Wany Hasrita apabila berita mengenai pradiabetes pada usia 33 tahun mengubah rentak hidupnya.
Daripada sekadar mahu menjaga kesihatan selepas kelahiran cahaya mata, pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu kini menemukan kecintaan baharu terhadap dunia larian.
Bermula dengan joging dan rutin bersenam setiap pagi, minat tersebut berkembang sehingga Wany berani menguji kemampuan dalam larian jarak jauh.
Terbaharu, pelantun lagu Menahan Rindu itu berjaya menamatkan separuh maraton di Gold Coast, Australia, sekali gus menyuntik keberanian untuk mengejar cabaran lebih besar.
“Sekarang saya sangat bersemangat. Selepas doktor mengesahkan saya mengalami pradiabetes, saya mula memberi perhatian lebih serius terhadap kesihatan.
“Pada awalnya saya hanya berjoging untuk meningkatkan tahap kesihatan, tetapi lama-kelamaan larian menjadi hobi baharu. Saya sendiri tidak pernah menyangka mampu berlari sejauh itu.
“Selepas berjaya menamatkan separuh maraton di Gold Coast, saya terus terfikir untuk mencabar diri menyertai maraton penuh pada tahun depan. Itu sasaran saya sekarang,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Wany, perubahan gaya hidup bukan hanya berpunca daripada keputusan doktor, sebaliknya lahir daripada kesedaran untuk mengelakkan keadaan kesihatan berkenaan menjadi lebih serius.
“Doktor sahkan antara punca saya berdepan penyakit itu kerana corak pemakanan. Sebelum ini saya banyak makan kuaci dan malas bersenam.
“Jadi, saya kembali aktif dengan melakukan aktiviti larian setiap hari. Saya juga semakin bersemangat selepas memuat turun aplikasi Strava kerana dapat melihat perkembangan serta pencapaian sendiri,” ujarnya.
Selain itu, Wany turut berkongsi perjalanan lariannya menerusi media sosial, khususnya TikTok yang membuka ruang kepada peminat untuk bertukar pandangan mengenai dunia larian.
Paling penting, kata pemenang Anugerah Bintang Popular ke-32 (ABP31) itu, pengikutnya turut memberikan cadangan berkaitan kelengkapan sukan, termasuk pemilihan kasut sesuai untuk aktiviti berkenaan.
“Saya mula kerap berkongsi video larian di TikTok dan ramai pula menontonnya. Peminat bukan sekadar melihat, malah mereka turut bertukar pandangan serta memberikan cadangan.
“Ada juga bertanya atau berkongsi mengenai kasut dan perkara berkaitan larian. Saya sendiri selalu meminta pendapat pengikut di TikTok kerana mereka juga banyak membantu,” tutupnya.
Dalam perkembangan lain, Wany diangkat menjadi duta jenama Nongshim Malaysia, selain sedang aktif mempromosikan siri mikrodrama interaktif TikTok terbaharu lakonannya, Impian Di Seoul, yang mula ditayangkan secara eksklusif sejak 21 Julai 2026.
Memegang watak utama sebagai Hanna, dia bersama rakan gandingannya, Khai Bahar, turut menyanyikan lagu tema asal drama berkenaan yang berjudul Makan Cintaku.
The post ‘Puncanya pradiabetes, tak sangka saya mampu lari sejauh itu’ appeared first on Kosmo Digital.
