Purata pendapatan isi rumah di Malaysia meningkat 2.4% pada 2022 – DOSM
diyana
28/07/2023 - 17:32
KUALA LUMPUR 28 Julai - Purata pendapatan isi rumah Malaysia meningkat 2.4% kepada RM8,479 dengan pendapatan isi rumah penengah catat peningkatan 2.5% kepada RM6,338 pada 2022.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, enam negeri mencapai pendapatan penengah melebihi paras nasional iaitu Kuala Lumpur (RM10,234); Putrajaya (RM10,056); Selangor (RM9,983); Labuan (RM6,904); Johor (RM6,879) dan Pulau Pinang (RM6,502).
Mohd Uzir berkata Selangor mencatatkan pertumbuhan pendapatan penengah tertinggi sebanyak 6.5% setahun bagi tempoh 2019 dan 2022, manakala pendapatan isi rumah penengah kasar bulanan Kuala Lumpur merosot sebanyak 1% bagi tempoh yang sama.
Putrajaya mencatatkan purata pendapatan isi rumah kasar bulanan tertinggi pada RM13,473, diikuti Kuala Lumpur (RM13,325), Selangor (RM12,233) dan Johor (RM8,517), melebihi paras nasional RM8,479.
Purata pendapatan boleh guna bulanan juga meningkat 1.7% kepada RM7,111 pada tahun lalu berbanding RM6,764 pada 2019.
Mengulas tentang corak pengagihan pendapatan, Mohd Uzir berkata had pendapatan B40 merangkumi 3.16 juta isi rumah adalah RM5,249, manakala kumpulan M40 mencatatkan julat pendapatan antara RM5,250 hingga RM11,819.
“Sebanyak 1.58 juta isi rumah berada dalam kumpulan T20 dengan pendapatan melebihi RM11,820. Mereka merangkumi 46.3% daripada agihan keseluruhan pendapatan isi rumah, turun sedikit daripada 46.8 peratus pada 2019. Sementara itu, kumpulan M40 merangkumi 37.6% manakala B40 hanya mewakili 16.1%,” katanya.
Tinjauan itu juga mendedahkan bahawa jurang ketidaksamaan pendapatan di negara ini telah mengecil sebanyak 0.3% pada 2022, berbanding 2019.
Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata walaupun pendapatan isi rumah meningkat di Malaysia, jurang pendapatan antara kumpulan etnik masih ketara.
“Jurang pendapatan antara kumpulan etnik Cina dan Bumiputera berada pada nisbah 1:0.71 pada 2022, berbanding 1:0.72 pada 2019, manakala jurang pendapatan antara etnik Cina dan India ialah 1:085 pada 2022, peningkatan kecil berbanding 1:0.83 pada 2019,” ujar beliau.
Sementara itu, nilai pendapatan garis kemiskinan (PGK) meningkat daripada RM2,208 pada 2019 kepada RM2,589 pada 2022, dengan nilai PGK makanan juga meningkat kepada RM1,198 (2019: RM1,169).
Beliau berkata walaupun krisis kesihatan global COVID-19 telah memberi kesan kepada insiden kemiskinan, insiden kemiskinan mutlak pada 2022 menunjukkan penurunan kepada 6.2% daripada 8.2% pada 2021. - DagangNews.com



