liza20/07/2026 - 15:57 Kampus Pusat Data 150MW JH1 milik Princeton Digital Group di Sedenak Tech Park, Johor - Gambar hiasan (FB Datuk Onn Hafiz Ghazi) KUALA LUMPUR 20 Julai – Pusat data di Malaysia dianggarkan memerlukan pembiayaan lebih AS$20 bilion (AS$1=RM4.09) bagi pembinaan struktur asas dan penyediaan peralatan sepanjang tiga tahun akan datang, berdasarkan anggaran penambahan kapasiti sekitar dua gigawatt (GW), menurut S&P Global Ratings.
Struktur asas dan penyediaan peralatan itu merangkumi struktur luaran kemudahan, infrastruktur tenaga selain penyejukan serta peralatan rangkaian dan storan.
S&P Global menyatakan jumlah pembiayaan adalah lebih tinggi apabila cip diambil kira apabila kosnya boleh mencegah satu hingga empat kali ganda berbanding kos struktur asas, bergantung kepada jenis cip yang digunakan.
"Kami menjangkakan keperluan pembiayaan sedemikian akan melebihi had penumpuan pembiayaan bank domestik bagi setiap sektor yang kami anggarkan berjumlah keseluruhan sekitar AS$30 bilion.
"Walaupun had baharu sebanyak AS$30 bilion diperkenalkan, jumlah itu mungkin masih tidak mencukupi untuk membiayai projek-projek pusat data dan cip dalam tempoh tiga tahun akan datang," jelasnya.
Sehubungan itu, S&P Global Ratings memaklumkan projek-projek pusat data di Malaysia kini berada pada titik perubahan yang penting.

"Walaupun sebelum ini projek-projek berkenaan dapat dibiayai terutamanya melalui pinjaman bank dan ekuiti, mereka bagaimanapun perlu meneroka sumber pembiayaan modal alternatif dalam masa terdekat," tambahnya.
Sementara itu, S&P Global Ratings menyatakan daya saing kos Malaysia merosot dengan kos bekalan elektrik kini sedikit melebihi purata berbanding negara-negara setara di Asia Tenggara.
"Kos pembinaan kekal pada paras purata berbanding pasaran utama pusat data lain di rantau ini.
"Meskipun begitu, kami percaya permintaan tidak mungkin beralih dari Malaysia ke negara-negara jiran berdasarkan faktor kos semata-mata. Kedudukan strategik Malaysia kekal menjadi kelebihan terbesarnya," jelasnya.
Selain itu, ia menyatakan kekurangan sumber dan cabaran dari segi kebolehpercayaan yang serupa di seluruh rantau ini menunjukkan bahawa sebarang pelan pengembangan berskala besar di pasaran jiran berkemungkinan besar turut berdepan dengan peningkatan kos infrastruktur serta kos berkaitan.
S&P Global Ratings mengunjurkan Malaysia mampu mengatasi cabaran pelaksanaan untuk menjadi satu daripada hab pusat data terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti yang hampir meningkat tiga kali ganda menjelang 2030.
Kedudukan yang hampir dengan Singapura, keterhubungan yang kukuh serta peningkatan kapasiti tenaga dan air sepatutnya memastikan Malaysia kekal kompetitif meskipun berdepan dengan peningkatan kos dan kelulusan yang lebih ketat. – BERNAMA





