
SHAH ALAM, 7 Julai: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melaksanakan kajian teknikal terperinci bagi menilai keupayaan sistem grid sedia ada sebelum meluluskan permohonan bekalan elektrik untuk tiga projek pusat data hyperscale di Serendah.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian itu merangkumi penilaian terhadap kecukupan kapasiti penjanaan serta keupayaan sistem penghantaran dan pembahagian elektrik bagi memenuhi pertambahan permintaan daripada projek berkenaan.
Menurutnya, ketika ini terdapat tiga projek pusat data hyperscale di Serendah yang sedang dalam proses permohonan bekalan elektrik dengan TNB.
"Salah satu projek itu memohon untuk mula beroperasi pada 2026 dengan keperluan bekalan elektrik sehingga 300 megawatt (MW).
"Sebelum sebarang kelulusan permohonan bekalan elektrik diberikan, TNB akan melaksanakan kajian terperinci teknikal bagi menilai keupayaan sistem grid sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai kajian penggunaan tenaga elektrik dan air bagi projek pusat data hyperscale di Serendah serta langkah kementerian memastikan bekalan utiliti penduduk sekitar tidak terjejas.
Fadillah berkata kelulusan bekalan elektrik hanya akan diberikan sekiranya kajian berkenaan menunjukkan infrastruktur sedia ada dan yang dirancang mampu menampung pertambahan permintaan daripada projek berkenaan.
Menurutnya, kelulusan itu turut tertakluk kepada keupayaan sistem berkenaan mengekalkan kualiti, kestabilan serta kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna sedia ada, khususnya penduduk di kawasan sekitar.
"PETRA bersama Suruhanjaya Tenaga sentiasa memantau pertumbuhan permintaan elektrik susulan pembangunan pusat data yang semakin pesat," katanya.
Menurutnya, pembangunan kapasiti penjanaan dan infrastruktur grid dilaksanakan secara bersepadu menerusi proses perancangan sistem bekalan elektrik negara yang dijalankan setiap tahun.
"Perancangan ini mengambil kira pertumbuhan permintaan daripada semua sektor ekonomi termasuk pusat data bagi memastikan pembangunan bekalan elektrik negara kekal stabil dan berdaya harap pada masa hadapan," katanya.





