
RANAU: Sebuah pusat informasi pelancongan yang baharu ditubuhkan di Kg. Tiang Lama di sini bakal menjadi pemangkin dalam mempromosikan tarikan dan potensi pelancongan di kampung berkenaan, selain membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paginatan Datuk Rusdin Riman berkata penubuhan pusat berkenaan bukan sekadar menyediakan tempat untuk pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan pelancongan malah boleh menjadi platform penting untuk mengetengahkan keunikan, keindahan alam semula jadi serta potensi pelancongan Kg. Tiang Lama dan daerah Ranau secara keseluruhannya.
“Saya berharap penubuhan pusat ini akan menjadi pemangkin dalam mempromosikan keunikan, keindahan dan potensi pelancongan kampung serta Ranau, di samping memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan Pusat Informasi Pelancongan Kg. Tiang Lama itu.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Kredit Sabah berkata pembangunan pelancongan di peringkat akar umbi mampu memberikan manfaat yang lebih luas sekiranya masyarakat tempatan diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam sektor berkenaan.
“Dalam hal ini, pusat maklumat ini boleh menjadi titik pertemuan antara pengunjung dengan masyarakat setempat, di samping membantu memperkenalkan tarikan, aktiviti dan pengalaman yang terdapat di kawasan ini.
“Bagi sesebuah kampung yang mempunyai potensi pelancongan, promosi yang berkesan adalah penting kerana kejayaan sesebuah destinasi bukan hanya bergantung kepada keindahan semula jadinya, tetapi juga keupayaan masyarakat berkongsi kisah, budaya dan pengalaman unik mereka dengan pengunjung,” katanya.
Justeru, pusat berkenaan boleh menjadi penghubung antara potensi pelancongan Kg. Tiang Lama dengan pengunjung yang ingin menerokai kawasan tersebut serta merasai keunikan kehidupan masyarakat setempat.
Pada masa sama, pelancongan berasaskan komuniti boleh mewujudkan peluang kepada penduduk untuk terlibat dalam aktiviti seperti pengeluaran makanan tempatan, inap desa, perkhidmatan pemandu pelancong, kraftangan dan aktiviti rekreasi.
Rusdin turut mengucapkan tahniah dan memberikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan penubuhan pusat berkenaan.
Beliau berharap inisiatif itu akan terus diperkukuh menerusi kerjasama antara masyarakat setempat, pemimpin komuniti dan agensi berkaitan bagi memastikan potensi pelancongan Kg. Tiang Lama dapat dipromosikan dengan lebih meluas.
“Pada akhirnya, pusat baharu ini bukan sekadar tempat fizikal untuk menyediakan maklumat. Ia boleh menjadi pintu masuk kepada pengunjung untuk mengenali Kg. Tiang Lama selain masyarakat setempat dapat meneroka peluang baharu melalui sektor pelancongan.
“Pelancongan bukan sekadar membawa orang ke sesebuah tempat tetapi juga membawa peluang baharu, pendapatan dan keyakinan kepada masyarakat,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Pelancongan Kg. Tiang Lama Fabian Pukin dan wakil UPPM Paginatan Petin Kilou.



