Pusat Jantung Hospital Serdang Hadapi Masalah, 4 Dewan Bedah Tak Boleh Diguna

14 May 2024 • 5:33 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hospital Serdang - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Pusat Jantung Hospital Serdang, yang dibuka pada Disember 2022 dan diwujudkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada Institut Jantung Negara (IJN) kini dibelenggu beberapa masalah, menurut The Star.

Empat daripada dewan bedahnya tidak boleh digunakan dan menghadapi masalah penyelenggaraan.

Hospital Sultan Idris Shah di Serdang (atau Hospital Serdang) masih menjalankan dua hingga tiga pembedahan jantung sehari di bangunan lamanya.

Laporan daripada The Star yang memetik sumber berkata, empat dewan bedah di pusat jantung baharu itu tidak berfungsi kerana mengalami beberapa isu seperti kerosakan penghawa dingin.

“Manakala di bangunan hospital lama pula terdapat empat dewan bedah tetapi ia juga mempunyai masalah. Sejak minggu lepas, hanya satu dewan besah yang boleh digunakan.

“Kami menggunakan tiga dewan bedah selama ini kerana satu bilik mempunyai masalah lampu dan meja serta telah ditutup sejak dua hingga tiga tahun lalu.

“Awal tahun ini, ia dikurangkan kepada dua kerana masalah penghawa dingin. Sejak minggu lalu, kami hanya mempunyai satu dewan bedah,” kata sumber kepada akhbar itu.

Sumber mendedahkan, sebanyak lapan sesi pembedahan boleh dijalankan dalam sehari jika semua dewan bedah berfungsi.

“Bagi bangunan baharu, tiada satu pun dewan bedah baharu digunakan sejak bangunan itu siap,” kata satu sumber lain.

“Pesakit menunggu sekurang-kurangnya setahun bagi tarikh kemasukan. Disebabkan ketiadaan dewan bedah, mereka menunggu berhari-hari atau berminggu-minggu di wad.

“Ramai putus harapan untuk mendapatkan slot pembedahan,” kata sumber itu.

Pusat ini adalah satu daripada pusat kardiologi dan kardiotoraks utama negara dan menerima rujukan dari seluruh negara.

Pada Oktober 2022, Menteri Kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin berkata pusat berkenaan akan memendekkan tempoh menunggu daripada 18 bulan kepada hanya sembilan bulan bagi kes elektif yang stabil manakala kes kecemasan boleh dirawat dengan segera.

Kemudahan penjagaan kesihatan itu dilengkapi dewan bedah hibrid - yang pertama seumpamanya di bawah Kementerian Kesihatan - dan akan memanfaatkan sehingga 250 pesakit jantung setahun.

Dilengkapi dengan peralatan canggih, pusat itu juga membolehkan pembedahan kes kompleks dijalankan di sana, katanya.

Ia mempunyai unit penjagaan koronari, unit penjagaan kardiotoraks intensif kanak-kanak, unit rawatan rapi, unit penjagaan kardiotoraks intensif dan jabatan kecemasan jantung. – The Vibes, 14 Mei 2024