
Pusat Jantung HSIS kendali 69 kes intervensi kardiologi sehari
PETALING JAYA- Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, Selangor Berjaya mengendalikan 69 kes intervensi kardiologi dalam tempoh sehari Jumaat lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata, pusat berkenaan mengendalikan sebanyak 45 peratus daripada keseluruhan kes intervensi kardiak yang dikendalikan oleh 10 pusat jantung kementerian berkenaan.
Katanya, bagi memastikan rawatan diberikan mengikut keperluan pesakit, operasi biasanya bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang dengan tujuh makmal kateterisasi jantung (Cath Lab) HSIS beroperasi sepenuhnya.
Ujarnya, selepas tamat waktu pejabat, empat Cath Lab lagi terus beroperasi sehingga lewat malam untuk menyelesaikan baki kes yang masih menunggu rawatan.
“Operasi berintensiti tinggi melibatkan sebanyak 80 petugas kesihatan melibatkan 14 pakar kardiologi, enam pegawai perubatan, 10 juru X-ray, lapan penolong pegawai perubatan serta 40 jururawat dan pembantu perawatan kesihatan,” katanya semalam.
Kata kenyataan itu, daripada keseluruhan 69 kes berkenaan, 40 adalah kes elektif dan 29 lagi melibatkan kes kecemasan.
Ini jelasnya, termasuk empat prosedur ‘Primary Percutaneous Coronary Intervention’ (Primary PCI) yang memerlukan tindakan pantas bagi menyelamatkan nyawa pesakit serangan jantung.
Ujarnya, pusat berkenaan turut membuktikan kepakaran dalam mengendalikan kes koronari kompleks selepas 13 kes kompleks berjaya dilakukan menggunakan teknologi pengimejan intravaskular (IVUS) dalam membantu rawatan lebih tepat dan selamat.
Antara prosedur berteknologi tinggi yang berjaya dijalankan kata kenyataaan itu termasuk empat kes RotaPro Rotational Atherectomy dan tiga kes Intravascular Lithotripsy.
“Kedua-dua prosedur terbabit merupakan rawatan khusus bagi pesakit yang mengalami saluran darah jantung yang sukar dirawat menggunakan kaedah biasa,” katanya.
Sementara itu, KKM turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengiktirafan Pusat Jantung HSIS sebagai Pusat Kecemerlangan Kardiak (COE) KKM.
Ini katanya, mencerminkan komitmen tinggi, kecekapan serta semangat kerja berpasukan seluruh warga kardiologi HSIS, Serdang dalam memastikan pesakit menerima rawatan jantung berkualiti tinggi secara cepat, selamat dan berkesan.
Media Mulia
The post Pusat Jantung HSIS kendali 69 kes intervensi kardiologi sehari appeared first on Kosmo Online.


