SHAH ALAM - Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS) mengecam gelombang kebencian terbaru yang disasarkan terhadap pelarian Rohingya di Malaysia, yang dikesan semakin memuncak menerusi satu kempen petisyen di platform Change.org.
Petisyen yang dilancarkan oleh individu menggunakan nama samaran "Aku Anak Malaysia" itu dilaporkan telah meraih lebih 280,000 tandatangan dalam tempoh hanya tujuh hari.
Pusat KOMAS dalam satu kenyataan menegaskan, petisyen berkenaan secara jelas melanggar garis panduan komuniti platform itu sendiri kerana mengandungi unsur diskriminasi dan dakwaan yang mengelirukan.
"Petisyen ini melanggar larangan terhadap kempen yang menggalakkan kebencian atau diskriminasi bertujuan memudaratkan seluruh kelompok masyarakat berdasarkan asal etnik, negara, atau kaum.
"Ia juga mengandungi dakwaan mengelirukan dan tidak berasas sehingga memesongkan pemahaman masyarakat terhadap komuniti Rohingya di Malaysia," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Pusat KOMAS memperincikan bahawa petisyen tersebut mendakwa kemasukan pelarian Rohingya telah menyebabkan tekanan yang semakin meningkat terhadap sumber, infrastruktur, dan perkhidmatan sosial negara.
Bagaimanapun, pertubuhan itu menjelaskan bahawa setakat ini tiada data yang menyokong skala persepsi berkenaan, memandangkan komuniti Rohingya hanya membentuk kira-kira 0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di Malaysia.
"Naratif sebegini secara sengaja menggambarkan seolah-olah komuniti Rohingya hanya mengambil daripada negara. Malah, ia mengabaikan hakikat bahawa ramai dalam kalangan mereka turut menyumbang kepada ekonomi Malaysia meskipun terpaksa hidup dalam keadaan tidak menentu dan sering dieksploitasi," katanya.
Pusat KOMAS turut melahirkan kebimbangan mengenai bagaimana petisyen tersebut digunakan untuk menggalakkan keganasan di luar platform digital.
Ini termasuk peningkatan seruan untuk mencederakan pelarian secara fizikal serta menyerang kediaman mereka, yang sering dikaitkan bersama petisyen ini.
"Walaupun pembuat petisyen tidak menyatakan perkara ini secara jelas di platform tersebut, konteks ini penting untuk menunjukkan bagaimana petisyen sebegini digunakan secara berniat jahat dan tidak boleh diabaikan," tegasnya.
Kenyataan itu turut mengingatkan bahawa Malaysia secara tradisinya sentiasa berdiri teguh menentang pencabulan hak asasi manusia dan pernah memberikan perlindungan kepada pelarian lain sebelum ini, seperti Muslim Bosnia, masyarakat Chin dari Myanmar, dan pelarian Pakistan.
Tindakan ini diteruskan walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Pelarian PBB 1951.
Sambil menekankan bahawa komuniti Rohingya berada di negara ini akibat tindakan genosid, pembunuhan, dan keganasan oleh kerajaan Myanmar,
Pusat KOMAS menyeru rakyat Malaysia untuk membincangkan isu migrasi dan pemindahan paksa ini berdasarkan fakta, bukannya stereotaip berbahaya.
Pusat KOMAS bersetuju bahawa kerajaan Malaysia perlu membangunkan dasar yang lebih mampan dan berasaskan hak asasi manusia dalam menguruskan isu pelarian.
Namun, dasar itu mestilah melindungi kepentingan semua pihak yang menyumbang kepada negara dan bukannya menjadikan komuniti rentan sebagai kambing hitam.
Sehubungan itu, pertubuhan tersebut mendesak pihak Change.org untuk segera menurunkan petisyen berkenaan bagi memastikan platform mereka tidak menyuburkan sentimen kebencian dan hasutan.
Rakyat Malaysia juga diseru untuk menghentikan kempen kebencian, menolak propaganda yang menyahmanusiakan pelarian, serta kekal berbelas ihsan dan bertanggungjawab dalam wacana awam.
"Kebencian tidak boleh dinormalisasikan sebagai pandangan umum," tambah kenyataan itu.




