
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Meraikan 20 Tahun Pencapaian Tempataan dan Global
KUALA LUMPUR, 25 Jun 2025 – Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (Pusat), venue terulung negara, yang dibina khas untuk persidangan, pameran dan acara, telah meraikan ulang tahun ke-20nya dengan majlis meriah pada 12 Jun lalu, menghimpunkan pihak berkepentingan utama dalam industri, rakan kongsi, dan pelanggan bagi meraikan dua dekad kecemerlangan sebagai hab dialog global, pertumbuhan ekonomi dan pertukaran budaya.
Bertemakan “Celebrating the Past 20. Shaping the Next 20.”, majlis istimewa itu dihoskan oleh penyanyi dan pelakon popular Atilia Haron yang menghiburkan tetamu dengan pengacaraannya yang mesra dan persembahan muzikal yang memukau. Majlis tersebut turut menampilkan kepakaran kulinari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang menghidangkan sajian istimewa yang diperbuat daripada bahan-bahan tempatan daripada sumber kelestarian —termasuk beberapa hidangan yang dihidangkan di atas arca ais yang direka khas.
“Industri pengurusan acara semakin berubah. Keperluan pelanggan turut berubah. Kejayaan dua puluh tahun yang seterusnya bergantung pada keupayaan kami untuk menyesuaikan diri dan kemampuan kami untuk kekal berdaya saing. Dengan mengikut peredaran zaman, kami telah memperbaharui perkhidmatan sokongan kami sejajar dengan perubahan format pengurusan pengacaraan. Kami telah memperbaharui dan mereka bentuk semula banyak ruang dalam Pusat Konvensyen ini untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dan terdapat lebih banyak lagi penambahbaikan yang sedang dirancang. Kami juga telah mempertingkatkan usaha kelestarian kami. Sebagai contoh, kini kami menggunakan tenaga hijau sepenuhnya, kami juga mengompos 100% sisa makanan dan 70% daripada makanan dan minuman kami diperoleh daripada sumber tempatan di Malaysia,” kata Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, John Burke, yang mula mengetuai operasi Pusat ini pada tahun 2023.
Sejak dibuka pada tahun 2005, Pusat ini telah menganjurkan lebih 22,000 acara dan menerima 29 juta pelawat, sekali gus menyumbang RM12.6 bilion kepada ekonomi Malaysia. Ia juga merupakan satu-satunya venue di Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah kepada beberapa Sidang Kemuncak ASEAN—pada tahun 2005, 2015 dan baru-baru ini, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang telah berlangsung pada Mei 2025. Antara pemimpin dunia dan ikon global yang pernah hadir di sini termasuklah Duke dan Duchess of Cambridge, Presiden Amerika Syarikat ke-44, Barack Obama, serta legenda bola sepak, David Beckham.
“Sebahagian anggota pasukan kami telah berkhidmat sejak hari pertama pembukaan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini. Jadi, ulang tahun ini juga istimewa buat mereka,” ujar John sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir atas sokongan mereka yang telah mencorakkan kejayaan ini, terutamanya barisan ahli pasukan.
Pada majlis tersebut, Pusat juga turut merakamkan penghargaan kepada KLCC (Holdings) Sdn Bhd atas kerjasama erat dan kepercayaan yang berterusan. Pusat Konvensyen Kuala Lumpur diuruskan oleh Convex Malaysia Sdn Bhd, sebuah usaha sama antara KLCC (Holdings) Sdn Bhd dan ASM Global.
Pusat ini turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan terdahulu dan sekarang, serta rakan kongsi presintnya dalam Kuala Lumpur Convention Centre Business Events Alliance (KLCCBEA). Ahli-ahli KLCCBEA merangkumi Mandarin Oriental Kuala Lumpur, Traders Hotel Kuala Lumpur, Impiana KLCC Hotel, Suria KLCC, rakan kongsi penerbangan, serta pasukan KLCC, atas kerjasama dan sokongan yang berterusan.
Turut dihargai ialah sumbangan bernilai daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), serta Malaysian Association of Convention and Exhibition Organisers and Suppliers (MACEOS). Penghargaan juga diberikan kepada rakan-rakan antarabangsa seperti International Congress and Convention Association (ICCA), Global Association of the Exhibition Industry (UFI), International Association of Convention Centres (AIPC), dan Professional Convention Management Association (PCMA) atas sokongan berterusan mereka dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri pengurusan acara perniagaan global ini.
Sempena ulang tahunnya yang ke-20, Pusat telah melancarkan KLCC Connects pada awal tahun ini—sebuah inisiatif jangka panjang yang menyatukan usaha kelestarian dan kerjasama komuniti di bawah satu platform yang mengutamakan masa depan. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada usaha untuk memupuk kerjasama merentas industri pengurusan acara perniagaan, sektor hospitaliti, institusi pengajian tinggi, NGO dan pihak berkepentingan UNSDG, seperti Urbanice Malaysia.
Untuk maklumat dan berita terkini, sila layari Newsroom di www.klccconventioncentre.com atau ikuti media sosial (Facebook – @klccconventioncentre, LinkedIn – Kuala Lumpur Convention Centre, Twitter – @klccconvention dan Instagram – @klccconventioncentre).
The post Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Meraikan 20 Tahun Pencapaian Tempataan dan Global appeared first on Siakap Keli.




