
Pusat Perkhidmatan Autisme Bangi Bakal Beroperasi Mulai Esok
Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) Bangi akan mula beroperasi dan menerima pendaftaran bermula esok, menurut perkongsian di laman Facebook peribadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Dalam perkongsian tersebut, beliau memaklumkan pusat berkenaan diwujudkan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan kepada individu yang mempunyai ciri-ciri autisme serta keluarga mereka.
“Alhamdulillah, berita yang dah lama kita nantikan. Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) Bangi akan berkhidmat dan menerima pendaftaran mulai esok,” kongsi beliau.
Menurutnya, antara perkhidmatan yang ditawarkan di PPA Bangi termasuk saringan dan pengesanan awal bagi mengenal pasti ciri-ciri autisme dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

2026 Makin Keras, Nak Sedekah Pun Berkira-kira Duit, Tapi Ada Keadaan Lain Lagi Parah
Ekonomi Makin Parah, Anak Bersekolah Bertambah, Ini Idea Bernas Untuk “Prepare” Dari Sekarang
Selain itu, pusat berkenaan turut menyediakan program intervensi awal serta terapi pelbagai disiplin yang dilaksanakan secara berstruktur.
Program sokongan kepada ibu bapa, keluarga dan penjaga turut disediakan bagi membantu mereka memahami serta mengurus keperluan individu autisme dengan lebih berkesan.
Difahamkan, pengoperasian PPA Bangi dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Damansara Damia.
Beliau turut menyatakan bahawa inisiatif tersebut selari dengan usaha membentuk komuniti yang lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Sebagai makluman, pendaftaran di PPA Bangi terbuka kepada rakyat Malaysia yang mempunyai ciri-ciri autisme dalam dua kategori umur.
Kategori A melibatkan kanak-kanak berumur antara dua hingga 12 tahun, manakala Kategori B melibatkan remaja berumur antara 13 hingga 18 tahun.
Pusat berkenaan turut menyediakan perkhidmatan Ruang Terapi seperti Gimnasium Terapi Cara Kerja dan Sensori, Bilik Pertuturan, Bilik Multi-Sensori, Bilik Fisiologi, serta kolam terapi.
Terdahulu, Media Selangor melaporkan bahawa premis berkenaan dibuka bagi menampung keperluan sokongan kepada orang kurang upaya (OKU) autisme yang kian meningkat di Selangor.
Menurut Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim, premis itu akan menjadi pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan komprehensif merangkumi diagnosis, intervensi awal serta sokongan keluarga.
“Mengambil kira jumlah OKU autisme yang semakin meningkat, JKM akan menubuhkan Pusat Perkhidmatan Autisme di Bangi yang dijangka beroperasi awal tahun 2026.
“Premis tersebut sedang dinaik taraf dan insyaAllah ia berfungsi sebagai pusat sehenti menawarkan perkhidmatan komprehensif termasuk diagnosis dan intervensi awal serta sokongan kepada keluarga,” ujarnya.


