KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan dikesan menawarkan perkhidmatan mendapatkan semula wang mangsa kes penipuan dengan menyamar sebagai wakil Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, mangsa tertarik dengan iklan di Facebook sebelum dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh suspek yang menyamar sebagai wakil NSRC.
“Suspek kemudiannya mendakwa boleh membantu mendapatkan semula wang mangsa yang telah ditipu, namun mengenakan bayaran pendahuluan sebagai syarat perkhidmatan.
“Mangsa yang mempercayai tawaran tersebut telah membuat beberapa transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza seperti yang diarahkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Rusdi berkata, walau bagaimanapun, mangsa terus diminta membuat bayaran tambahan tanpa sebarang pemulangan wang seperti yang dijanjikan sebelum menyedari telah menjadi mangsa penipuan.
“Berdasarkan rekod JSJK, sebanyak enam kes penipuan melibatkan tawaran perkhidmatan mendapatkan semula wang mangsa telah direkodkan bagi tempoh tahun 2025 hingga Mac 2026 dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM68,491.
“Ia melibatkan beberapa kontinjen termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu serta kebanyakannya membabitkan mangsa yang diperdaya kali kedua,” katanya.
Beliau berkata, tiada mana-mana pihak boleh menjanjikan pemulangan wang yang telah ditipu secara mudah, apatah lagi dengan mengenakan bayaran pendahuluan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran sedemikian serta sentiasa membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dinasihatkan untuk segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil,” ujarnya.



