Pusat Rawatan Buah Pinggang 9 Tingkat Bakal Dibina Di Kuching

31 Dec 2024 • 12:17 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Berita baik dan harapan baru buat pesakit buah pinggang di Sarawak, bangunan 9 tingkat bakal dibina

Pusat Rawatan Buah Pinggang 9 Tingkat Bakal Dibina Di Kuching. Che Hia Khor Moral Uplifting Society Sarawak (CHKMS) kini melangkah ke hadapan dengan pelancaran projek bangunan baharu, Kidney Foundation Medical and Commercial Building yang bakal menjadi pusat rawatan buah pinggang.

Bangunan setinggi 9 tingkat ini akan dibina di Jalan Laksamana Cheng Ho, Kuching, dengan majlis pecah tanah dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

image is not available
Gambar ilustrasi Bangunan Perubatan dan Komersial Yayasan Buah Pinggang CHKMUS yang akan datang. Pusat Rawatan Buah Pinggang 9 Tingkat Bakal Dibina Di Kuching. Sumber foto: pdcdesign.

Menurut Abang Johari, projek ini akan memberikan impak besar kepada kesihatan masyarakat dan meningkatkan perkhidmatan rawatan buah pinggang di negeri itu.

Kemudahan rawatan bertaraf dunia, tapi bila dijangka siap?

Projek ini bakal menyediakan pusat rawatan lengkap dengan perkhidmatan dialisis untuk lebih 320 pesakit. Menariknya, bangunan ini juga akan menempatkan ruang komersial yang dijangka menjana pendapatan berterusan bagi menyokong operasi pusat rawatan tersebut.

Dalam ucapannya, Abang Johari memuji dedikasi CHKMUS dalam meningkatkan kesihatan awam dan memberikan akses kepada perkhidmatan perubatan berkualiti. Pembinaan bangunan ini dijangka siap dalam beberapa tahun lagi, sekali gus menjadi langkah penting dalam memperluas akses rawatan buah pinggang di Sarawak.

Sokongan penuh dari Kerajaan Negeri

Kerajaan Sarawak juga tidak ketinggalan dalam menyokong usaha ini. Setakat ini, 32 mesin dialisis telah disediakan untuk pusat-pusat yang disarankan oleh hospital kerajaan bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin meningkat.

Namun, Abang Johari turut menekankan pentingnya pendidikan kesihatan dalam mengurangkan kadar pesakit buah pinggang. Beliau berkata,

“Kita boleh menambah mesin, tetapi pada masa yang sama, kita perlu mendidik orang ramai tentang penjagaan kesihatan mereka,” ujar Abang Jo, menurut laporan media tempatan.

Projek Kidney Foundation Medical and Commercial Building ini bukan sahaja menjadi simbol kemajuan Sarawak dalam sektor kesihatan, tetapi juga bukti komitmen masyarakat dan kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus diutamakan. Mari kita nantikan perkembangan seterusnya.

Baca juga artikel yang pernah kami terbitkan mengenai hotel baharu yang bakal dibuka di Kuching: