
Kota Kinabalu: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew, merasmikan Pusat Sehenti Sabah-Malaysia My Second Home (Sabah-MM2H) di Sutera Avenue, di sini, Khamis.
Dalam ucapannya, beliau berkata langkah itu merupakan satu pencapaian penting dalam menjadikan Sabah lebih mudah diakses serta menarik minat penduduk antarabangsa.
“Program Sabah-MM2H kini mempunyai ‘rumah’ sendiri bagi memudahkan pemprosesan permohonan serta segala urusan berkaitan.
“Pusat Sehenti ini akan memperkemas perkhidmatan, mengurangkan birokrasi dan meningkatkan ketelusan dengan menyelaraskan usaha agensi utama seperti Kerajaan Negeri, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac),” katanya.
Liew, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sabah-MM2H, merakamkan penghargaan kepada semua pegawai, agensi dan rakan kerjasama yang telah bekerja keras menjayakan inisiatif berkenaan.
“Semoga pusat sehenti ini menjadi platform berkesan untuk meningkatkan penyertaan dalam program ini ke arah pertumbuhan ekonomi dan peluang yang lebih besar bagi Sabah,” tambahnya.
Beliau menegaskan program Sabah-MM2H dirangka untuk menarik penduduk asing yang berpotensi membawa pelaburan jangka panjang, berbelanja secara tempatan serta menyumbang secara positif kepada ekonomi dan masyarakat Sabah, sambil menikmati keistimewaan menjadikan Sabah sebagai rumah kedua mereka.
“Melalui program ini, kita menjangkakan kesan positif merangkumi sektor hartanah, pelancongan, kesihatan, pendidikan hinggalah perniagaan tempatan. Ini seterusnya akan mewujudkan pekerjaan, merancakkan pelaburan, memupuk pertukaran budaya dan membawa manfaat yang mampu memperkukuh ekonomi Sabah serta memperkayakan komuniti kita,” katanya.
Antara yang hadir pada majlis pelancaran itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Josie Lai; Timbalan Setiausaha Tetap II, Datin Dr Cleopatra Asing; Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri & Penyelidikan (Jabatan Ketua Menteri), Datuk Awang Shahminan Awang Sahari; Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Shah Siti Saleha Habib Yusof; Timbalan Ketua Cawangan Khas Sabah, ACP Mohd Azizul Rosun Khan yang mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Pengerusi Sri Pelancongan Sabah, Ken Pan Ying On; serta ahli Jawatankuasa Sabah-MM2H.



