KeTCA, Safva bekerjasama promosi pelancongan Keningau melalui filem

LocalEntertainment
10 Sep 2025 • 2:14 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PERSATUAN Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) akan bekerjasama dengan Persatuan Filem dan Visual Sabah (Safva) Zon Keningau bagi menganjurkan pertandingan filem pendek.

Pengerusi KeTCA Rafie Robert, ketika berucap pada majlis penutupan Bengkel Asas Seni Lakon anjuran Safva berkata, KeTCA akan memberi sokongan penuh terhadap sebarang penganjuran aktiviti kreatif di Keningau termasuk bengkel latihan dan penggambaran filem.

Menurut beliau, penglibatan aktif komuniti kreatif dapat membantu mempromosikan daerah itu selaras hasrat KeTCA untuk menjadikan Keningau sebagai pusat pelancongan yang setanding dengan daerah pelancongan lain di Sabah.

“Dengan adanya kerjasama bersama Safva, penggiat kreatif dapat memainkan peranan sebagai penggerak utama dalam mempromosikan pelancongan dan kebudayaan Keningau melalui medium filem dan media sosial.

“Sebagai permulaan, kita akan menganjurkan pertandingan filem pendek yang akan dikendalikan oleh Safva Zon Keningau. Tema serta butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Penganjur bengkel Vellasyah Magaloi merakamkan penghargaan kepada penaja bengkel selama dua hari itu.

Beliau yang juga Ketua Safva Zon Keningau turut menyampaikan penghargaan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Sabah Creative Economy and Innovation Centre (Scenic) kerana membiayai sebahagian besar kos penganjuran bengkel berkenaan.

Seramai 24 peserta menyertai bengkel yang berlangsung dari 6 hingga 7 September di Taman Bandukan Riverside Resort itu. Peserta didedahkan dengan teknik asas lakonan untuk kamera, pembangunan watak dan skrip, penggambaran asas serta istilah set, dengan 60 peratus berbentuk latihan praktikal.

Turut hadir pada majlis penutupan ialah Presiden Safva Chester Pang, Ketua Bahagian Kreatif Pembangunan Kapasiti dan Ekosistem Scenic Eva Chris Anthony, Naib Presiden Safva Zahm Zulkifli, Exco Safva Johari Abdullah serta AJK Safva Zon Keningau Ryot A Ujin dan Riano Engah.