Pusat Ujian Kenderaan Elektrik Beroperasi di Kedah, Perkukuh Rangkaian Ujian Automotif Global

LocalTechnology
19 Dec 2025 • 11:31 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Pelancaran Pusat Ujian Kenderaan Elektrik (EVTC) di Bandar Baharu, Kedah bukan sekadar satu lagi majlis perasmian fasiliti teknologi. Ia menandakan kemasukan Malaysia, khususnya wilayah utara Semenanjung, ke dalam peta global rangkaian ujian automotif bertaraf antarabangsa, dengan fokus yang jelas terhadap kenderaan elektrik dan mobiliti masa hadapan.

image is not available
Dari Kiri ke Kanan: Tuan Ahmad Faridz Bin Abd Ghaffar
(Pegawai Penyelidik, Institut Penyelidikan Sains & teknologi Pertahanan  (STRIDE)), Dato’ Dennis Chuah
(Pengasas dan Pengarah Urusan, ECLIMO Sdn. Bhd), Tuan Mohd Noor Bin Ismail, AMK., BCK
(Pegawai Daerah Bandar Baharu), Dr Horizon Gitano Briggs (Chief Technical Officer, Engine Division, Focus Applied Technologies) dan Encik Abdul Muti Bin Dato’ Hj Abdul Hamid (General Manager, Pre Investment, Invest Kedah) melancarkan EVTC semalam.

Dibangunkan dan dimiliki oleh Focus Applied Technologies Sdn. Bhd., EVTC merupakan pusat ujian antarabangsa pertama di rantau ini yang menawarkan kebolehan pengujian khusus EV dalam persekitaran tropika sebenar. Dari sistem bateri dan motor elektrik sehinggalah integrasi kenderaan dan emisi, semuanya kini boleh diuji, disahkan dan diperhalusi secara tempatan tanpa perlu bergantung kepada fasiliti luar negara.

Antara tarikan utama EVTC ialah litar ujian “closed loop” sepanjang 650 meter yang direka khusus untuk pengujian kenderaan tanpa perlu berada di jalan awam. Ia disokong oleh bangunan makmal utama yang menempatkan dinamometer casis berasingan bagi lori, bas, kereta, serta kenderaan dua dan tiga roda. Empat bilik ujian individu pula membolehkan ujian enjin atau motor elektrik, ujian jangka hayat bateri, serta sistem hibrid dijalankan sehingga 20 jam sehari, memenuhi protokol ujian mencecah 1,000 jam.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi Focus Applied Technologies, Horizon Gitano-Briggs, keperluan untuk menepati piawaian antarabangsa menjadi pemacu utama pembangunan pusat ini. Keupayaan menguji kenderaan seperti tuk tuk dan beca automatik dalam litar tertutup membuka ruang kepada pembangunan teknologi yang lebih selamat dan tersusun, selari dengan amalan global.

Fasa pertama EVTC dibangunkan dengan kos RM3 juta, dengan pelan peluasan sehingga RM4 juta lagi menjelang 2027. Dalam bentuk semasanya, pusat ini sudah mampu menjalankan pelbagai ujian kritikal termasuk pengukuran prestasi dan jarak gerak kenderaan, ujian emisi, ujian kitar hayat bateri, serta pematuhan piawaian keselamatan.

Namun nilai EVTC tidak terhenti pada aspek teknikal semata-mata. Ia kini menjadi hab kepada ratusan penyelidik dari seluruh dunia, menyokong projek R&D untuk pasaran Afrika, Asia Selatan dan Asia Tenggara. Kedudukannya di Kedah turut mewujudkan ekosistem penyelidikan baharu di wilayah utara, menjadikan negeri ini destinasi strategik bagi penyelidik jemputan dan projek antarabangsa.

Sebagai sebahagian daripada rangkaian global INVICTA (Persatuan Pusat Ujian Kenderaan Antarabangsa), EVTC turut berperanan mengoptimumkan penggunaan kemudahan ujian melalui kerjasama rentas negara. Hubungan dengan organisasi antarabangsa seperti UNEP, UNDP, UNIDO dan Bank Dunia pula membuka potensi besar kepada permintaan bakat tempatan, bukan sahaja dalam kejuruteraan, tetapi juga pengurusan projek, dasar dan piawaian kenderaan, teknologi maklumat, ekonomi serta kewangan.

Pengasas Eclimo Sdn. Bhd., Dato’ Dennis Chuah, menyifatkan EVTC sebagai platform profesional dan dipercayai yang membolehkan teknologi EV dinilai mengikut realiti penggunaan tempatan. Bagi pengeluar dan syarikat pemula tempatan, kewujudan pusat ini mempercepatkan kitaran pembangunan produk dan mengurangkan kos serta kebergantungan kepada ujian luar negara.

Ke hadapan, Focus Applied Technologies merancang pembukaan pusat latihan khusus dengan konsep kelas “drive-in”, selain pembinaan asrama, hotel, kafe dan kemudahan komersial bagi menyokong pertambahan penyelidik dan pelatih. Langkah ini mengukuhkan aspirasi EVTC sebagai lebih daripada sekadar pusat ujian, tetapi sebuah ekosistem lengkap bagi pembangunan teknologi, bakat dan industri mobiliti elektrik.

Dengan EVTC, Malaysia bukan sahaja menguji kenderaan elektrik. Malaysia sedang menguji kesediaannya untuk menjadi pemain penting dalam masa depan pengangkutan global.