Puspakom diberi kuasa benar syarikat lain jalankan pemeriksaan kenderaan

LocalCars
26 Aug 2024 • 3:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anthony (tiga dari kiri) menyerahkan lesen kuasa kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Puspakom, Mahmood Razak Bahman (dua dari kiri).

image is not available
Anthony ketika sidang media di Putrajaya pada Isnin.

PUTRAJAYA - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menjadi syarikat pertama yang diberi kuasa membenarkan mana-mana syarikat berkelayakan untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan motor.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemberian kuasa di bawah Seksyen 126 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) itu membolehkan Puspakom dan syarikat berkelayakan menyediakan perkhidmatan tersebut di pusat pemeriksaan dan secara bergerak di seluruh negara.

**media[2781901]**

"Setakat ini sambutan dari industri untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang ditetapkan di bawah Akta 333 amat positif.

"Kementerian Pengangkutan akan menilai semua permohonan dan mengumumkan pemain-pemain baharu yang berjaya dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Isnin.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus mengawal selia dan memantau penyediaan perkhidmatan serta pengoperasian pemeriksaan kenderaan supaya teratur, mematuhi standard serta peraturan agar perkhidmatan yang diberikan berkualiti.

Pada masa sama menurutnya, kerajaan turut menggalakkan mana-mana pihak berkelayakan dan kompeten untuk memohon pemberian kuasa bagi melaksana dan menyediakan perkhidmatan sama.

"Garis panduan permohonan pemberian kuasa atau lesen bagi tujuan tersebut masih boleh diperoleh daripada laman web Kementerian Pengangkutan atau JPJ.

"Tarikh tutup bagi mengemukakan permohonan adalah pada 31 Oktober depan," jelasnya.

Sebagai rekod, Puspakom telah diberi kuasa untuk menjalankan fungsi Pegawai Pengangkutan Jalan melibatkan skop pemeriksaan kenderaan motor di bawah Akta 333 sejak 1994.

Kerajaan pada 17 Mac 2023 mengumumkan tidak lagi mengekalkan hak eksklusif syarikat berkenaan dan akan membenarkan pihak berkelayakan lain untuk memohon melaksanakan fungsi pemeriksaan kenderaan.