Puspakom perluas pelaksanaan GEAR ke seluruh negara

LocalCars
18 Aug 2026 • 4:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Puspakom perluas pelaksanaan GEAR ke seluruh negara

PETALING JAYA: Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) meluaskan GiCheck Early Access Reservation (GEAR) ke semua 26 pusat pemeriksaannya di seluruh negara selepas mencapai semua sasaran utama dalam tempoh tiga minggu selepas dilancarkan.

Pencapaian itu menunjukkan penerimaan positif pelanggan terhadap GEAR yang diperkenalkan bagi memberi pilihan tambahan kepada pelanggan mendapatkan slot pemeriksaan kenderaan lebih awal, selain memastikan akses kepada slot tempahan biasa terus tersedia.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, sambutan menggalakkan terhadap GEAR mencerminkan permintaan pelanggan terhadap kemudahan dan pilihan tempahan yang lebih fleksibel.

Katanya, pencapaian itu turut mengukuhkan komitmen Puspakom untuk terus menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan.

“Pencapaian ini telah melebihi jangkaan kami.

“Lebih penting lagi, ia menunjukkan bahawa pelanggan menghargai fleksibiliti yang lebih tinggi untuk mendapatkan slot pemeriksaan lebih awal, di samping memastikan akses yang adil kepada sistem tempahan biasa kami.

“Kadar tempahan yang amat tinggi, kadar kehadiran pelanggan yang kukuh serta maklum balas yang menggalakkan memberi kami keyakinan bahawa GEAR memberikan nilai yang bermakna kepada pelanggan.

“Justeru, kami bergerak pantas untuk memperluaskannya ke pusat pemeriksaan Puspakom di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam tempoh pelaksanaan perintis, GEAR mencatat kadar tempahan 98.8 peratus, manakala purata masa pemeriksaan hanya 33 minit bagi setiap kenderaan.

Operasi Puspakom turut kekal stabil sepanjang tempoh pelaksanaan perintis itu, selain menerima maklum balas positif daripada pelanggan, khususnya berkaitan kemudahan dan fleksibiliti mendapatkan slot pemeriksaan lebih awal.

Sebagai sebahagian daripada peluasan itu, GEAR akan dilaksanakan di pusat pemeriksaan Puspakom dalam dua fasa pada Ogos ini.

Fasa pertama yang bermula pada minggu kedua Ogos membabitkan 11 cawangan di wilayah Tengah dan Selatan.

Fasa kedua yang dijadualkan pada minggu keempat Ogos pula membabitkan 12 cawangan lagi di wilayah Utara, Timur, Sabah dan Sarawak.

Peluasan itu menjadikan GEAR tersedia di kesemua 26 pusat pemeriksaan Puspakom dengan sehingga 80 slot tempahan GEAR disediakan setiap hari bagi setiap fasa.

Mahmood berkata, inovasi di Puspakom didorong oleh keperluan pelanggan.

“GEAR merupakan salah satu contoh bagaimana kami terus menambah baik perkhidmatan dengan menjadikan urusan pemeriksaan lebih mudah, mudah diakses dan berfokuskan pelanggan, di samping mengekalkan kecekapan, kebolehpercayaan dan integriti yang diharapkan oleh pelanggan.

“Kami akan terus memperkenalkan penambahbaikan yang praktikal bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

The post Puspakom perluas pelaksanaan GEAR ke seluruh negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved