
PETALING JAYA: Proton meluaskan perniagaan kenderaan elektrik (EV) di peringkat antarabangsa menerusi pelancaran rasmi Proton e.MAS 5 di Nepal.
Ia sekali gus menjadikan negara itu sebagai pasaran luar negara kedua yang menerima EV terlaris syarikat selepas pengenalannya di Singapura awal bulan ini.
Inisiatif yang diterajui oleh Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) itu mengukuhkan komitmen Proton untuk terus mengembangkan peniagaan eksport sambil memperkukuh kehadiran jenama Proton e.MAS di pasaran antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif PICSB, Edmund Lim Meng Thong berkata, pelancaran Proton e.MAS 5 di Nepal merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan eksport kami dan membuktikan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap jenama Proton e.MAS.
“Selepas kejayaan model ini di Malaysia, di mana ia muncul sebagai EV paling laris di negara ini pada tahun ini, serta pelancarannya di Singapura baru-baru ini, kami amat berbesar hati melihat Nepal menjadi pasaran luar negara kedua bagi Proton e.MAS 5.
“Ini mencerminkan strategi kami untuk membina pertumbuhan eksport yang mampan melalui produk yang menggabungkan teknologi canggih, kualiti, keselamatan dan nilai yang terbaik,” katanya dalam kenyataan.
Proton e.MAS 5 diperkenalkan di Nepal oleh Jagdamba Motors, pengedar sah Proton di negara tersebut dan merupakan EV kedua Proton yang diperkenalkan di negara itu selepas pelancaran Proton e.MAS 7 pada 2025.
Sementara itu, pasaran eksport kekal sebagai komponen penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang Proton, selaras dengan usaha syarikat mempelbagaikan sumber pendapatan sambil meningkatkan pengiktirafan global terhadap produk automotif Malaysia.
Pengembangan jenama Proton e.MAS ke pasaran luar negara juga menyokong aspirasi Proton untuk muncul sebagai pemain serantau dalam segmen kenderaan tenaga baharu (NEV).
Beliau berkata, eksport sentiasa menjadi salah satu tonggak penting strategi perniagaan Proton.
“Setiap pasaran baharu yang kami terokai mengukuhkan lagi kehadiran antarabangsa kami sambil memperlihatkan keupayaan Malaysia menghasilkan kenderaan yang mampu bersaing di peringkat global.
“Bersama rakan kongsi, yang dipercayai, kami berharap dapat menjadikan jenama Proton e.MAS semakin dikenali di pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Pelancaran itu dibuat ketika Proton e.MAS 5 terus mencatat momentum jualan yang kukuh di Malaysia sebagai kenderaan elektrik paling laris di negara ini bagi tahun 2026.
Kejayaan di pasaran domestik telah menjadi asas kukuh kepada pengembangan eksport model ini dengan kira-kira 200 tempahan direkodkan pada hari pertama pelancarannya, mencerminkan keyakinan tinggi pasaran serta sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Di Nepal, Proton e.MAS 5 ditawarkan dalam varian Prime dan Premium, serta diposisikan sebagai SUV elektrik kompak yang direka untuk memenuhi keperluan mobiliti harian.
Sempena pelancarannya, Jagdamba Motors turut memperkenalkan kempen harga pengenalan khas untuk pembeli terawal dengan harga Rs. 35 lakh bagi varian Prime dan Rs. 40 lakh bagi varian Premium. – UTUSAN
The post Proton perluas pasaran e.Mas 5 di Nepal appeared first on Utusan Malaysia.


