Putaran demi putaran

16 Aug 2026 • 4:45 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Putaran demi putaran

Ennadi Meenaakshi… Sonnathu
Ennaachu …
Ennadi Meenaakshi … Sonnathu Enaachu …
Netrodu Nee Sonna Vaarthai Kaatrodu Poyaachu…

Berputar-putar gelendong kecil di dalam peti berwarna hitam menghidangkan lagu nyanyian mendiang S.P. Balasubramaniam, yang dirakam pada tahun 1978.

Aku terbayangkan kembali adegan Kamalahaasan beraksi untuk lagu ini dalam filem Ilamai Oonjalaadugirathu.

Tidak tahu untuk kali ke berapa aku memainkan kaset ini sejak ia dibeli oleh bapa. Lagu ini juga amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa itu, kerana ia pernah dinyanyikan dalam rancangan Puspawarna di TV Malaysia.

“Mama, saya tak mahu lihat semua benda ini lagi dalam bilik!” kata Mala dengan lantang.

Dia bercekak pinggang di muka pintu bilik tidurku. Aku menekan butang stop tanpa menjawab apa-apa; hanya tunduk ke bawah, memandang kotak-kotak yang berserakan di lantai.

Aku tidak tahu hendak menjawab apa dengan menantu yang tidak tahu menghormati bapa mertuanya. Generasi muda sombong. Generasi yang masih tidak sedar diri yang suatu hari nanti, mereka juga akan mengecapi apa yang aku sedang lalui sekarang.

Mala beredar daripada situ. Aku duduk di birai katil sambil memerhatikan timbunan kotak-kotak yang ditarik keluar dari bawah katil tadi.

Setiap hari itulah kerjaku di hujung pagi. Kipas siling yang berputar pada had laju maksimum tidak dapat meredakan kepanasan pada badan dan jiwaku. Aku membuka tingkap cermin dengan harapan angin akan menerpa. Hampa.

Aku suka pada apa-apa sahaja yang berputar.

Tayar kereta lembu, tayar basikal, tayar kereta, tayar bas, tayar buldozer, tayar lori dan tayar motosikal.

Bukan sahaja tayar; aku juga suka melihat kipas angin, kipas helikopter, dan kipas mainan berisi gula-gula berwarna-warni yang menjadi kegemaran ketika di sekolah rendah.

Dan paling disukai adalah putaran pita reel to reel. Putaran gelendong pita magnetik dari kiri ke kanan itu sungguh mengasyikkan. Lebih-lebih lagi, pita itu boleh mendendangkan lagu. Menakjubkan!

Alat pemain/perakam pita reel to reel berjenama Philips itu dibeli oleh mama, iaitu adik lelaki ibu, ketika dia mengunjungi Jerman pada tahun 1970.

Tidak tahu mengapa dia berikan pemain/perakam pita itu kepada bapa. Sedangkan mama cuma memiliki sebuah transistor radio kecil yang boleh dimasukkan ke dalam kocek.

“Mama, buat apa masih termenung dalam bilik, tu? Dah lupa apa saya cakap tadi?”

Mala menjerit dari dapur. Saya mendengar bunyi senduk dan periuk. Terbau bau sambal terung pipit. Aromanya mengundang kelaparan.

Selama isteri bersamaku, masakan sambal terung pipitnya adalah kegemaranku dan Siva. Tidak boleh menandingi masakan orang lain. Namun, masakan Mala masih boleh dimakan. Tidaklah teruk sangat.
Biarkan dia menjerit. Aku tidak akan berganjak atau menurut kata-katanya. Dia ingat aku ini siapa untuk mendengar arahannya.

***
Selepas waktu makan malam, bapa meletakkan alat pemain/perakam pita, reel to reel berjenama Philips berisi enam biji bateri saiz D itu di lantai ruang tamu yang berlapikkan tikar getah. Cuma terdapat beberapa gelendong pita saiz kecil di rumah kami untuk dimainkan pada alat itu.

Bapa membuka penutup plastik pada alat pemain/perakam, kemudian mengeluarkan gelendong pita dari kotak dan memasangnya pada poros gelendong di sebelah kiri.

Selepas itu bapa menarik keluar pita kecil itu lalu memasukkannya melalui kepala magnetik dan roda getah kecil dan menyambung pita tersebut ke gelendong take-up kosong.

Seterusnya bapa menekan butang play. Kedua-dua gelendong berputar dengan had kelajuan yang ditentukan dan dengarlah lagu-lagu kegemaran bapa sekitar tahun 1940-an dan 50-an. Bapa

sungguh menggemari lagu-lagu nyanyian M.K. Tiagaraja Baghavathar.
Putar.
Putar.
Putar.

Aku dan abang asyik memandang kedua-dua gelendong berputar bersama pita magnetik. Cantik!

Selepas mendengar lagu-lagu kesukaannya, bapa rewind semula pita tadi semula ke gelendongnya dan menyimpannya dalam kotak kecil yang dikhaskan. Kemudian bapa mengeluarkan pita dari kotak lain untuk merakam suara kami dan memasang pada alat pemain/perakam seperti tadi. Kali ini bapa menekan butang play dan rakam sekali gus. Gelendong pita berputar lagi.

Saya dan abang menyanyikan lagu-lagu Tamil daripada filem-filem M.G.R, bercakap-cakap kosong dan bergelak ketawa ke dalam mikfrofon putih kecil yang disambung pada alat perakam. Bapa dan ibu ketawa melihat gelagat kami.

Kami teruja untuk mendengar suara kami semula melalui corong pemain pita. Selepas itu bapa menekan butang stop dan menekan butang rewind.

Gelendong pita itu berputar laju ke sebelah kiri dan berhenti apabila bapa menekan butang stop pada awal bahagian yang telah dirakam. Bapa menekan butang play semula.
Putar.
Putar.
Putar.

Alangkah seronoknya untuk mendengar suara kami sendiri dari corong pemain/perakam pita. Setiap hari kami mengulang beberapa kali untuk mendengar dan akan merakam lagi suara kami pada hari-hari seterusnya.

***
Aku bersila semula di lantai dan membuka beberapa penutup kotak. Semua adalah hasil koleksi bapa dan aku sejak awal tahun 70-an lagi. Pita reel to reel, pita cartridge, pita kaset, audio cd, kaset VHS, VCD dan DVD.

Aku pun tidak tahu ada berapa kesemuanya dalam lapan buah kotak. Itu pun banyak kaset dan VHS telah dibuang kerana dinaiki kulat pada pita. Tidak kiralah pita kaset atau pita VHS, ia tidak dapat dimainkan semula dalam pemain/perakam kerana pitanya sudah menjadi keras dan sukar untuk berputar. Jika berputar pun, sudah tentu akan merosakkan alat pemain/perakam kaset tersebut.

Dan sekarang aku cuma memiliki sebuah pemain/perakam kaset murah yang dibeli dari aplikasi Shopee. Itu pun tidak tahu ia akan bertahan untuk berapa lama lagi. Pemain CD, VCD, VHS lama yang rosak, masih tersimpan dalam kotak-kotak ini.
Buang!
Buang!
Buang!

Itu sahaja menantuku suka ucap sejak dia berkahwin dengan Siva, lapan bulan yang lalu.

“Kenapa appa masih mahu simpan benda ini semua?”

Siva juga sentiasa menyokong isterinya. Aku tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan itu.
“Sekarang appa boleh tengok semua itu di YouTube. Bukankah TV di ruang tamu sudah cukup besar dan terang. Pagi-pagi semasa kami berdua dah pergi kerja, tontonlah semua itu di YouTube saja, pa.”

Siva menasihati aku sebagai seorang bijak dan pandai tanpa memahami isi hatiku.

“Ini lain, Siva. Kamu sendiri tahu bagaimana saya mengendalikan semua ini. Suara kamu dan suara adik-beradik kamu pun terakam di beberapa kaset di dalam kotak-kotak ini.”

“Siapa mahu dengar semua itu lagi sekarang, pa. Saya sudah tak minat. Dulu lainlah. Sekarang sudah ada telefon bimbit dan lain-lain gajet. Bukankah pemain CD, VCD, VHS dan DVD kepunyaan appa semua sudah rosak?”

Aku teringat kembali bagaimana aku mengumpul wang untuk membeli setiap kaset ketika di sekolah menengah.

Kebanyakan kaset lagu-lagu lama bapa yang beli, kadang-kadang sahaja dia akan membeli kaset baharu.

Pada pertengahan 70-an, di rumah kami sudah ada alat perakam kaset bersaiz kecil dan sebuah transistor radio bersaiz sederhana. Alat pemain/perakam reel to reel sudah diberikan semula kepada mama.

Ibu pula selalu bising kerana bapa membazir wang dengan membeli benda-benda tidak berfaedah seperti ini. Katanya, bapa merosakkan kami. Perempuan pada mana-mana era pun sama sahaja.

Pada awal tahun 1980 bapa telah membeli pemain/perakam radio kaset Toshiba Boombeat yang dibayar secara ansuran. Bunyinya sungguh bagus sebab ia ada dua pembesar suara stereo. Tidak seperti pemain/perakam kaset lama atau pemain reel to reel, cuma ada satu pembesar suara sahaja.

***
“Mani, appa ada satu cara untuk jimat kos.”

Pada suatu hari, bapa memberi suatu idea. Aku risau bapa sudah bersetuju dengan kata-kata ibu dan akan mengurangkan pemberian wang saku. Nanti aku tidak akan dapat beli kaset-kaset kegemaranku sebulan sekali.

“Appa akan ke Singapura minggu depan. Nanti di sana saya akan beli kaset kosong dengan harga murah. Kamu boleh guna kaset itu untuk merakam lagu-lagu kesukaan kamu dari radio.”

Mataku berseri-seri memandang bapa.

“Dan kamu juga harus tolong rakam lagu-lagu suci agama Hindu untuk amma. Barulah amma kamu tak marah,” kata bapa sambil tersenyum.

Adik-beradik bapa menetap di Singapura. Bapa sering melawat mereka setahun sekali dengan menaiki keretapi.

Setelah beberapa hari, bapa pulang membawa satu kotak kecil yang sungguh cantik yang mengandungi 10 keping kaset kosong berjenama TDK. Baunya sungguh wangi. Aku melompat-lompat gembira.

***
“Mama, mari makan!” Mala melaung dari meja makan.

Ketika di meja makan, aku Siva dan Mala tidak berkata apa-apa. Setelah habis makan, Siva memulakan semula perkara yang sama. Kali ini aku tidak mahu berganjak.

“Barang-barang itu bukannya menyusahkan kamu. Buat apa kamu mahu buang? Selama ini tak menimbulkan masalah pun.”

“Appa, kami tak buang semua. Nanti kita pilih yang mana betul-betul bapa selalu dengar sahaja kita simpan. Yang lain termasuk apa yang telah rosak semua kita buang. Mala rasa susah nak kemas dan bersihkan bilik appa.”

“Selama ini pun, saya yang bersihkan bilik sendiri.”

“Sekarang sudah lain, pa …”

***

Hari-hari itulah kerja aku. Masuk kaset TDK kosong ke dalam pemain/perakam Toshiba Boombeat dan merakam segala lagu-lagu kesukaan yang disiarkan di Radio Malaysia Rangkaian Merah.

Walaupun bunyi siaran radio tidak jelas seperti kaset yang dibeli tetapi apa boleh buat, ini sahaja cara untuk mendengar lagu dengan kuantiti yang banyak.

Aku juga merakam segala lagu-lagu pujian Dewa-Dewi Hindu setiap petang dari stesen Rangkaian Merah untuk memuaskan hati ibu. Kaset-kaset lagu-lagu suci itu dipasang setiap pagi sebelum ke sekolah.

Setiap tahun bapa ke Singapura dan membawa balik kaset-kaset kosong TDK sebagai ole-ole.

Setelah bekerja, aku mula membeli kaset-kaset asli dan kaset-kaset kosong dan merakam segala lagu mengikut urutan yang disukai. Ada juga yang dijual kepada rakan sekerja. Masa itu aku sudah pun memiliki Sony Mini Hifi.

***

Buang!
Buang!
Buang!

Aku membawa segala kotak-kotak berisi khazanah itu ke luar rumah dengan rasa geram dan mencampakkannya dalam tempat pembuangan kitar semula.

Ennadi Meenaakshi… Sonnathu Ennaachu …

Ennadi Meenaakshi … Sonnathu Enaachu …

Netrodu Nee Sonna Vaarthai Kaatrodu Poyaachu …

Kaset lagu pemberian bapa ini sahaja aku tinggalkan dalam bilik bersama pemain/perakam kaset yang dibeli dari Shopee.

Putar.
Putar.
Putar.-UTUSAN

The post Putaran demi putaran appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved