
LONDON: Enam tahun selepas berundur daripada tugas rasmi keluarga diraja, Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle akan berpindah semula ke United Kingdom (UK), menurut laporan media Britain pada Rabu.
Dalam satu langkah mengejutkan, anak bongsu pemerintah UK, Raja Charles III itu merancang untuk meninggalkan Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir bulan ini bersama isterinya bagi menetap di sebuah kediaman peribadi bukan diraja, yang terletak di luar London, lapor The Telegraph.
Beberapa agensi berita UK termasuk Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan bahawa dua anak pasangan tersebut, Putera Archie, 7, dan Puteri Lilibet, 5, telah pun didaftarkan di sebuah sekolah di Britain untuk memulakan sesi persekolahan awal September ini.
Laporan turut menyatakan bahawa pasangan berkenaan telah memilih sebuah rumah baharu, tetapi ia bukan salah satu daripada kediaman rasmi keluarga diraja.
Agensi berita Press Association (PA) melaporkan bahawa Raja Charles telah dimaklumkan pada Ahad lalu berhubung perancangan Putera Harry dan isterinya yang memakai gelaran Duke serta Duchess of Sussex untuk kembali menetap di UK.
Berita mengejutkan ini muncul hanya beberapa minggu selepas Putera Harry dan Meghan melawat UK pada awal Julai lalu bersama anak-anak mereka, di mana mereka sempat mengadakan pertemuan peribadi dengan Raja Charles.
Putera Harry, 41, dan Meghan, 45, telah menetap di California sejak 2020 dan anak-anak mereka tidak pernah bertemu dengan datuk mereka sejak 2022.
Mereka meninggalkan Britain menuju ke Amerika Utara pada 2020 di tengah-tengah perselisihan faham dengan kerabat diraja yang menjadi semakin parah selepas Putera Harry menerbitkan buku memoirnya, Spare.
Putera Harry kemudian menyatakan hasrat untuk berbaik semula dengan bapanya yang disahkan mengidap kanser dua tahun lalu dan kini sedang menjalani rawatan.
Jenis kanser yang dihidapi Raja Charles bagaimanapun tidak pernah didedahkan. – AGENSI
The post Putera Harry dan Meghan kembali menetap di UK appeared first on Utusan Malaysia.
