Putera MIC kemuka 10 tuntutan pendidikan dalam Belanjawan 2027

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 5:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Putera MIC kemuka 10 tuntutan pendidikan dalam Belanjawan 2027
Dr Shatesh Kumar Sangar

KUALA LUMPUR - Putera MIC mengemukakan 10 tuntutan berkaitan pendidikan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam Belanjawan 2027, termasuk menangani isu kelaparan mahasiswa, kediaman pelajar, keciciran pendidikan dan kebolehpasaran graduan.

Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr Shatesh Kumar Sangar berkata, pendidikan perlu kekal sebagai antara keutamaan utama kerajaan kerana pembangunan negara bukan hanya bergantung kepada pembinaan infrastruktur, sebaliknya perlu bermula dengan pembangunan modal insan.

Menurutnya, pelaburan pendidikan juga perlu memberi kesan secara langsung terhadap akses pendidikan, kualiti pembelajaran, kebolehpasaran graduan serta peluang anak muda membina kehidupan lebih baik.

“Antara cadangan utama ialah pelaksanaan Zero Hunger Campus bagi memastikan mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah tidak berdepan masalah makanan ketika mengikuti pengajian.

“Tidak sepatutnya ada mahasiswa terpaksa memilih antara membeli makanan atau bahan pembelajaran,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Putera MIC turut mencadangkan Student Rental Guarantee Scheme bagi membantu mahasiswa yang tidak mendapat kolej kediaman, melalui skim jaminan sewa atau deposit dengan kerjasama institusi kewangan, kerajaan negeri dan pemilik kediaman.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu memperkenalkan Second Chance Scholarship untuk belia yang pernah tercicir tetapi mahu kembali menyambung pendidikan melalui TVET, kolej komuniti atau institusi pendidikan tinggi.

Bagi memperkukuh bidang sains dan teknologi, Putera MIC mencadangkan STEM Reset 2035 termasuk penubuhan STEM Transformation Fund bagi mentransformasikan makmal sains konvensional kepada Future STEM Labs.

Makmal berkenaan dicadangkan dilengkapi teknologi seperti robotik, coding, percetakan 3D, elektronik, Internet benda (IoT), dron, tenaga boleh baharu dan kecerdasan buatan (AI).

Dalam masa sama, Putera MIC mencadangkan National Skills Passport, iaitu rekod digital sepanjang hayat yang menggabungkan kelayakan akademik, TVET, microcredentials, sijil profesional, latihan industri dan pengalaman pekerjaan.

Shatesh berkata, kerajaan juga wajar menetapkan sasaran sekurang-kurangnya satu AI Lab di setiap sekolah menengah menjelang 2030, dengan keutamaan diberikan kepada sekolah luar bandar serta sekolah yang mempunyai populasi B40 tinggi.

“AI tidak boleh menjadi teknologi yang hanya boleh diakses oleh mereka yang mempunyai kemampuan ekonomi,” katanya.

Putera MIC turut mengemukakan Pelan Transformasi SJKT 2035 yang memberi tumpuan kepada pembangunan STEM dan AI, smart classroom, internet berkelajuan tinggi, penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, intervensi numerasi serta literasi dan peningkatan kompetensi guru.

Menurutnya, peruntukan pembangunan pendidikan juga perlu diperincikan mengikut kategori sekolah seperti SK, SJK(T) dan SJK(C), bukannya diumumkan secara lump sum bagi memastikan penyaluran peruntukan lebih telus dan bersasar.

Dalam isu penguasaan Bahasa Melayu, Putera MIC mencadangkan penghapusan sistem kelas peralihan melalui pelaksanaan BM Bridge Programme yang memberi intervensi lebih awal, khususnya dari Tahun 4 hingga Tahun 6.

Cadangan itu termasuk penyediaan guru Bahasa Melayu tambahan, penilaian diagnostik dan kelas intensif selepas waktu persekolahan bagi membantu murid yang memerlukan.

Bagi menghubungkan pendidikan dengan pasaran pekerjaan, Putera MIC mencadangkan TVET Apprenticeship Guarantee melalui National High-Skill Apprenticeship Programme bersama industri.

Kerajaan disaran menyediakan insentif padanan kepada majikan yang mengambil lepasan TVET dan institusi pengajian tinggi sebagai perantis dalam sektor strategik, selain menyediakan laluan jelas kepada pekerjaan tetap.

Putera MIC turut mencadangkan pengenalan Rang Undang-Undang Latihan Industri Berelaun (Paid Internship Act) bagi mewujudkan kerangka lebih jelas terhadap latihan industri berbayar.

Shatesh berkata, mahasiswa yang menjalani latihan industri bukan sekadar mendapatkan pengalaman, sebaliknya turut menyumbangkan masa, tenaga dan kemahiran kepada organisasi.

“Sudah tiba masanya kita membincangkan satu standard nasional yang munasabah supaya latihan industri tidak dilihat sebagai sumber tenaga kerja percuma.

“Kesemua tuntutan ini membawa satu mesej jelas bahawa Belanjawan 2027 mesti melihat pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang kepada modal insan Malaysia,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved