KUALA LUMPUR - Puteri UMNO menggesa laluan khusus bagi wanita muda berusia bawah 40 tahun diwujudkan untuk golongan itu menyertai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerajaan tempatan, badan berkanun dan terbabit dalam proses pembuat dasar.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, tuntutan itu bukan sekadar untuk mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita, sebaliknya memastikan wanita muda diberi ruang sebenar dalam membuat keputusan.
Justeru, beliau mahu Puteri menjadi jambatan antara suara wanita muda dengan meja pembuat keputusan, maka satu perkara perlu disebut dengan jelas.
"Kerajaan hendaklah laksanakan program khas untuk wanita muda sertai GLC, Kerajaan Tempatan, Badan Berkanun dan pembuat dasar, supaya mereka boleh berada dalam suasana membuat keputusan.
"Kerana membuat keputusan adalah intipati kepada kepemimpinan," katanya ketika berucap dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Hadir sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Nurul Amal turut berpandangan, tuntutan penyertaan 30 peratus wanita tidak boleh tinggal sebagai angka yang diulangkan dalam ucapan, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada peluang yang boleh dilihat, dirasai dan dibuktikan.
Menurutnya, pihaknya mahu wanita muda yang berkemampuan, bekerja dan diterima rakyat, diberikan peluang sewajarnya apabila tiba waktunya parti menentukan calon, kita
"Kita sudah terlalu lama bercakap tentang penyertaan wanita. Sekarang masanya kita bercakap tentang kuasa membuat keputusan.
"Wanita muda bukan sekadar diperlukan untuk menggerakkan jentera, bukan sekadar memenuhi dewan, bukan sekadar wajah kempen," ujarnya lagi.
Justeru, Nurul Amal menegaskan, Puteri perlu diberikan ruang untuk memimpin daripada cawangan ke bahagian, daripada organisasi ke pentadbuiran dan dari akar umbi hinggalah ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.






