
KUALA LUMPUR: Wanita muda perlu menguasai teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan mereka mampu memanfaatkan perubahan ekonomi yang semakin dipacu automasi, perniagaan digital dan ekonomi kreatif.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, perubahan ekonomi yang berlaku dengan pantas turut mengubah cara manusia bekerja, berniaga dan menjana pendapatan.
Katanya, perkembangan itu sememangnya menimbulkan kebimbangan berikutan terdapat pekerjaan yang akan berubah, selain kemahiran sedia ada mungkin tidak lagi mencukupi untuk memenuhi tuntutan pasaran.
“Perubahan ini memang menimbulkan kebimbangan. Ada pekerjaan yang akan berubah dan ada kemahiran yang mungkin tidak lagi mencukupi.
“Tetapi perubahan juga membuka peluang. Jadi bagi Puteri, persoalannya bukan sama ada perubahan itu akan berlaku. Ia sedang berlaku.
“Persoalannya ialah adakah wanita muda kita bersedia mengambil peluang daripada perubahan itu?” katanya dalam ucapan penggulungan Ketua Puteri UMNO pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO di sini, hari ini.
Nurul Amal berkata, wanita muda perlu diberikan pendedahan dan kemahiran menggunakan teknologi serta AI bagi meningkatkan produktiviti dan keupayaan mereka dalam menghadapi ekonomi baharu.
Menurutnya, kemahiran yang perlu diberi perhatian termasuk komunikasi, pemasaran digital, pengurusan kewangan, penyelesaian masalah serta keupayaan untuk terus belajar apabila teknologi berubah.
Katanya, perkembangan ekonomi digital turut membuka ruang kepada wanita muda menjana pendapatan menerusi pelbagai platform tanpa bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan konvensional.
“Mereka berniaga melalui platform digital, menjadi pencipta kandungan, freelancer, menjual makanan, pakaian dan produk kecantikan dari rumah.
“Cabaran mereka selepas ini bukan semata-mata bagaimana hendak memulakan perniagaan. Cabaran yang lebih besar ialah bagaimana hendak membesarkannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Puteri UMNO boleh memainkan peranan lebih praktikal dengan menjadi jambatan yang menghubungkan wanita muda kepada peluang dan kemudahan sedia ada.
Katanya, Puteri tidak perlu mengambil alih peranan bank, pusat latihan atau agensi pemasaran, sebaliknya membantu wanita muda mendapatkan akses kepada program, pembiayaan, mentor dan pasaran.
“Kalau ada program kerajaan yang baik, kita bawa wanita muda kepadanya. Kalau ada peluang pembiayaan, kita bantu mereka mendapat maklumat dan akses.
“Kalau ada usahawan yang boleh menjadi mentor, kita hubungkan mereka. Kalau ada pasaran yang boleh dibuka, kita bantu membuka jalan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan Puteri membantu wanita muda bergerak daripada sekadar mencari pendapatan kepada usaha membina kekuatan ekonomi secara lebih kukuh.
Dalam pada itu, Nurul Amal berkata, agenda ekonomi wanita muda juga perlu dilihat bersama keperluan sokongan keluarga, khususnya berkaitan penjagaan anak dan tanggungjawab terhadap ibu bapa yang semakin berusia.
Katanya, wanita muda hari ini bukan sahaja memikirkan pekerjaan dan pendapatan, malah perlu membuat persediaan berkaitan rumah tangga, anak-anak, ibu bapa dan masa depan keluarga.
“Apabila kita bercakap tentang penyertaan wanita dalam ekonomi, kita juga mesti bercakap tentang sistem sokongan kepada mereka.
“Penjagaan anak yang selamat dan mampu dibayar, tempat kerja yang lebih memahami tanggungjawab kekeluargaan dan sokongan kepada mereka yang menjaga ibu bapa yang semakin berusia,” katanya. – UTUSAN
The post Wanita muda perlu kuasai AI, teknologi hadapi ekonomi baharu appeared first on Utusan Malaysia.




