Putrajaya peruntuk RM2 juta bantu B40 dapat lesen, manfaat 4,000 calon

3 Jul 2023 • 2:18 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

HULU SELANGOR, 3 JULAI: Program MyPSV yang dilancar Kementerian Pengangkutan merupakan usaha membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata Kerajaan Perpaduan memperuntuk RM2 juta di bawah inisiatif Belanjawan Madani 2023 yang akan memanfaatkan 4,000 calon untuk memperoleh lesen tersebut.

“Ia akan memberi manfaat kepada kepada 4,000 calon merangkumi 3,500 orang untuk lesen PSV e-hailing atau teksi dan 500 orang untuk lesen PSV bas.

“Peruntukan ini meliputi kos ujian dan latihan kepada dengan calon dengan kadar RM2,590 untuk setiap calon PSV bas manakala RM190 untuk setiap calon PSV e-hailing atau teksi,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut di sini hari ini.

Loke memaklumkan program itu juga bertujuan meningkat taraf sosioekonomi B40 melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig serta menambah baik sektor pengangkutan awam negara.

“Kerajaan berharap inisiatif ini dapat membantu golongan B40 yang kini berdepan cabaran ekonomi mendapatkan lesen PSV.

“Namun terdapat beberapa syarat perlu dipatuhi calon bagi memperoleh lesen di mana di bawah program MyPSV bas perlu menduduki kursus teori vokasional, latihan dan ujian praktikal.

“Calon MyPSV e-hailing hanya perlu menduduki kursus teori e-hailing sahaja,” katanya.