Qabil Irfan Sapu Bersih Musim 2025, Sah Juara FIM MiniGP Malaysia 190cc

11 Aug 2025 • 10:24 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Pelumba berbakat negara, Qabil Irfan Azlan mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori 190cc FIM MiniGP Malaysia 2025 selepas mengekalkan rekod sempurna musim ini dengan lapan kemenangan berturut-turut.

Anak jati Terengganu berusia 13 tahun itu sekali lagi membuktikan kehebatannya di Pusingan 4 FIM MiniGP Malaysia yang berlangsung di LYL International Karting Circuit, apabila menamatkan kedua-dua perlumbaan hujung minggu ini di tempat pertama. Kejayaan tersebut membolehkannya mengumpul 200 mata penuh dan menamatkan saingan lebih awal walaupun musim masih berbaki satu pusingan.

Kemenangan mutlak ini turut memastikan Qabil layak secara automatik mewakili Malaysia ke Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2025 yang akan berlangsung di Valencia, Sepanyol hujung tahun ini.

“Musim ini amat istimewa kerana saya berjaya mengekalkan prestasi konsisten sejak perlumbaan pertama. Gelaran ini adalah hasil usaha berterusan pasukan, keluarga, penaja, dan semua yang sentiasa menyokong saya.

Apapun, saya akan terus bekerja keras terutama menjelang persiapan ke Valencia memandangkan cabaran di sana pasti lebih sengit. Jadi, saya perlu berusaha lebih keras,” kata Qabil yang menjuarai kategori sama pada musim 2024.

Kejayaan tahun ini menambah koleksi kejuaraan Qabil, yang sebelum ini pernah meraih gelaran 160cc pada 2022 dan 2023, selain menjuarai SIC Ohvale Junior Championship 110cc dan SIC MiniGP Championship pada 2021.

Sementara itu, perebutan dua lagi tiket ke Valencia bagi kategori 190cc masih terbuka menjelang pusingan terakhir di RUD Karting Sepang pada 11-12 Oktober 2025. Pelumba Qayim Razin (124 mata), Adam Aiman (123 mata) dan Malek Ridha (112 mata) masih mempunyai peluang untuk melayakkan diri.

Teruskan Bersama Two Wheels..!!