Qualcomm Mengacah Pengumuman Berkaitan Snapdragon X Elite Pada 24 April

TechnologyDigital
20 Apr 2024 • 4:32 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Qualcomm kini berkongsi video acah, memperlihatkan akan berkongsi sesuatu melibatkan cip pemprosesan untuk komputer riba Windows mereka, Snapdragon X Elite. Qualcomm menjadualkan tarikh 24 April 2024 ini untuk berkongsi berkenaan dengannya.

Untuk makluman, Qualcomm telah memperkenalkan Snapdragon X Elite pada Oktober 2023 lepas, dan ketika itu ia diposisikan sebagai lebih berkuasa berbanding Apple M2 Max dan juga Intel Core i9-13980HX. Namun, sehingga kini, tiada lagi produk yang dijana cip pemprosesan ini dilancarkan kepada umum – walaupun sejumlah rakan kerjasama diumumkan ketika pelancaran cip berkenaan.

Berkemungkinan besar, pada 24 April berkenaan, kita mungkin melihat sejumlah produk pertama yang dikuasakan cip ini diumumkan secara rasminya – sebelum dijual kepada orang ramai.

Beberapa desas-desus juga turut mengatakan Qualcomm turut memperlihatkan satu lagi variasi cip pemprosesan untuk komputer dibawa siri Snapdragon X pada acara berkenaan.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikn 24 April ini untuk melihat kejutan yang disediakan oleh Qualcomm ini.