
KUALA LUMPUR 5 Dis – Quality Concrete Holdings Berhad (QCHB) melalui anak syarikatnya, QC Construction & Engineering Sdn. Bhd. (QCCE) meraih kontrak bernilai RM294.59 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) bagi sistem bekalan air di Mukah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Quality Concrete berkata, kontrak tersebut ialah selama 30 bulan dengan kerja dijangka bermula pada Januari 2026.
“Kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih QCHB sepanjang tempoh kontrak.
“Sumber pembiayaan kontrak akan diperoleh daripada dana dalaman syarikat dan pinjaman bank,” katanya dalam makluman tersebut.
Namun, syarikat itu tidak mendedahkan secara terperinci apakah kerja-kerja berkaitan kontrak tersebut.
QCCE berkata ia menyedari bahawa projek pembinaan sentiasa menghadapi risiko turun naik harga bahan, namun syarikat yakin dapat mengurus risiko tersebut dengan berkesan melalui pengalaman dan kepakaran mereka dalam projek pembinaan.
Lembaga Pengarah QCHB menegaskan kontrak ini adalah dalam kepentingan terbaik Kumpulan dan tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com
