Quranic Madani bakal diperluas, sebarkan mesej kasih sayang – Menteri Agama

8 May 2026 • 9:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Quranic Madani bakal diperluas, sebarkan mesej kasih sayang – Menteri Agama
Dr Zulkifli ketika berucap pada program Quranic Madani di Bukit Bintang.

KUALA LUMPUR - Program Quranic Madani yang berlangsung di Bukit Bintang pada Jumaat malam akan diteruskan secara lebih besar pada masa akan datang sebagai platform memperkukuh ukhuwah dan perpaduan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, program itu bukan sekadar himpunan zikir, munajat dan selawat, malah membawa mesej sejagat berteraskan kasih sayang serta kemanusiaan.

Beliau berkata, sambutan luar biasa daripada ribuan pengunjung walaupun dalam keadaan hujan lebat membuktikan masyarakat dahagakan program kerohanian yang menyatukan rakyat pelbagai latar belakang.

“Kita ingin menyampaikan mesej yang universal, mesej kasih sayang. Sebagai rakyat Malaysia yang menghormati antara satu sama lain, kita ingin menyampaikan mesej kasih sayang yang menjadi sunnah Rasulullah SAW,” katanya berucap pada program Quranic Madani di Bukit Bintang malam ini.

Menurut beliau, antara mesej utama yang mahu diketengahkan menerusi program berkenaan ialah Kempen Sebarkan Salam sebagai usaha memperkukuh hubungan sesama masyarakat selain menyemai budaya hormat-menghormati dan silaturahim.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia menghidupkan budaya memberi salam, saling membantu dan mempererat hubungan kekeluargaan demi membina sebuah tamadun dan negara yang diberkati ALLAH SWT.

“Moga-moga negara kita akan terus diberkati dan dirahmati serta mencapai tahap seperti disebut dalam al-Quran, ‘Baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur’,” tambahnya.