IPOH - Semua rakyat Perak yang pulang dari Sabah pada tarikh 14 hingga 26 September 2020 diminta segera tampil membuat ujian saringan koronavirus (Covid-19).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pentadbiran kerajaan negeri memandang serius peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di seluruh negara termasuk lima kes positif yang dikesan di negeri melibatkan individu-individu pulang dari Sabah.
Menurutnya, mereka yang pulang dari Sabah selepas 27 September turut digesa membuat saringan kali kedua sekiranya mereka mengalami gejala-gejala jangkitan Covid-19.
"Bagi mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin 14 hari di rumah masing-masing selepas pulang dari Sabah diingatkan supaya mematuhi prosedur yang telah ditetapkan khususnya mengasingkan diri daripada ahli keluarga mereka sehingga ujian swab kedua mengesahkan mereka negatif Covid-19.
"Adalah diingatkan bahawa tempoh dua minggu selepas selesainya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah tempoh yang amat kritikal susulan peningkatan kes jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara yang telah mencapai tiga angka," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ahmad Faizal dalam pada itu menasihatkan rakyat di negeri ini supaya terus mengamalkan disiplin normal baharu dengan mengelakkan tempat yang sesak, kawasan yang sempit dan elak sembang dengan jarak yang dekat.
Menurutnya, selain itu orang ramai diminta supaya kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka di tempat-tempat awam dan elakkan bersentuhan.
Perak mencatatkan lima kes baharu dalam tempoh empat hari sejak 29 September lalu dengan kesemua kes membabitkan individu yang pulang dari Sabah.


