
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mencadangkan agar kerajaan menetapkan umur tamat persekolahan pada usia 16 tahun bagi membolehkan golongan muda memasuki dunia pekerjaan lebih awal.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, langkah tersebut penting memandangkan Malaysia menuju ke arah status negara menua, dan anak muda perlu diberi peluang untuk menyertai sektor pekerjaan seawal usia 21 tahun.
“Sekolah mesti berakhir lebih awal pada umur 16 tahun kerana satu, kita negara menua. Keduanya, supaya anak-anak kita dapat mula menyertai sektor pekerjaan dengan lebih awal,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam sesi perbahasan itu, Rafizi turut mengulas mengenai hala tuju RMK13 yang dikatakan kurang memberi tumpuan kepada aspek ekonomi dan pembangunan fizikal.
Menurut beliau, kedua-dua aspek itu telahpun diberi perhatian melalui pelan sebelum ini, masing-masing pada tahun 2023 dan 2024.
Sebaliknya, RMK13 memberi fokus kepada pembaharuan dalam sektor pendidikan, terutamanya pendidikan awal kanak-kanak sebagai pelaburan masa depan negara.
“Kalau kanak-kanak tidak dididik dengan baik pada umur lima hingga sembilan tahun, mereka akan ketinggalan walau macam mana usaha pun dibuat ketika mereka memasuki Darjah Satu atau Darjah Lima,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan prasekolah secara universal yang dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat seawal umur lima tahun.
“Negara-negara lain melabur dalam pendidikan awal, bukan ketika universiti atau sekolah menengah. Kita perlukan perkhidmatan prasekolah universal supaya tiada siapa yang tercicir,” katanya.
Tambah beliau lagi, walaupun RMK13 tidak menyatakan angka peruntukan yang jelas, komitmen kerajaan untuk menjadikan pendidikan awal sebagai keutamaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun perlu diteruskan oleh mana-mana kerajaan pada masa hadapan.

