
PETALING JAYA: Kerajaan didakwa belum melunaskan komitmen kewangan berjumlah RM12.5 bilion kepada Lembaga Tabung Haji (TH) selepas Sukuk Urusan Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) Siri 1 matang pada 29 Mei lalu.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kerajaan sepatutnya melunaskan sepenuhnya jumlah komitmen kewangan itu dalam bentuk tunai atau aset setara nilai.
Katanya, ia akan menggantikan sejumlah RM12.5 bilion aset TH daripada aset atas kertas yang tiada aliran tunai (sukuk UJSB) kepada aset yang ada aliran tunai dan cair seperti wang, saham, hartanah dan seumpamanya.
“Bagaimanapun, daripada jumlah RM12.5 bilion yang perlu dilunaskan, hanya RM965 juta adalah dalam bentuk hartanah iaitu sebidang tanah di TRX dan tanah-tanah ladang di Sarawak.
“Jumlah berbaki RM11.5 bilion dilunaskan dalam bentuk satu lagi sukuk baharu yang akan matang dalam tempoh sepuluh tahun iaitu kerajaan perlu membayar TH RM11.5 bilion dalam 2036,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, sepanjang beliau menjadi Menteri Ekonomi, kerajaan ada membuat peruntukan lebih dari RM1 bilion setahun untuk melunaskan sukuk UJSB apabila sampai tempoh matangnya iaitu pada 29 Mei lalu.
“Oleh itu, sewajarnya perbahasan Parlimen esok mendapat penjelasan yang berterus terang daripada kerajaan, ke mana wang berbilion yang diperuntukkan selama ini untuk memulihkan Tabung Haji telah pergi?
“Sekiranya kerajaan sekarang dan selepas ini terus menangguhkan komitmen melunaskan sukuk UJSB ke masa akan datang (dengan terus menggantikan satu kertas hutang kepada kertas hutang yang baru), Tabung Haji akan terus berdepan dengan risiko kecairan aset dan aliran tunai di masa akan datang,” katanya.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, penstrukturan kewangan TH yang diluluskan kerajaan pada akhir 2018 bergantung kepada kemampuan dan kepatuhan kerajaan melunaskan komitmen kewangan berkenaan apabila sukuk mencapai tempoh matang.
Beliau berkata, menerusi pelan itu, kerajaan melalui UJSB mengambil alih aset TH yang mengalami kerugian pada harga lebih tinggi daripada nilai sebenar, sebelum menerbitkan dua siri sukuk kepada tabung kewangan tersebut.
“Pada tarikh matang iaitu 2026 dan 2029, Kerajaan Persekutuan membayar kembali Tabung Haji untuk menggantikan kertas hutang itu sama ada dengan tunai atau aset pada nilai yang telah dipulihkan,” katanya.
Pada masa sama, Rafizi mendakwa, hanya RM500 juta setakat ini dibayar kepada TH untuk menebus sukuk UJSB, berdasarkan penemuan RCI.
Katanya, pada 2021 di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), peruntukan RM1.5 bilion yang diluluskan menerusi Belanjawan 2021 tidak dibayar kepada TH atas alasan dana berkenaan diperlukan bagi pemulihan ekonomi susulan pandemik Covid-19.
“Ketiga-tiga kerajaan iaitu PH, PN dan PH-BN sudah meluluskan peruntukan bagi tujuan melunaskan sukuk sejak 2019.
“Semasa PH di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 5 April 2019, kerajaan meluluskan peruntukan sekurang-kurangnya RM17.8 bilion bagi menampung kekurangan penebusan sukuk UJSB,” katanya.
Beliau berkata, komitmen itu kemudian diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dipercayainya turut terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN
The post Rafizi dakwa kerajaan belum lunas komitmen kewangan RM12.5b kepada TH appeared first on Utusan Malaysia.






