
Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli mendedahkan mengenai kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) setelah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada 19 November lalu.
Dalam satu perkongsian di platform TikTok, Rafizi menerangkan mengenai rentetan peristiwa dari A sampai Z sehingga tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.
Rafizi yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata sebelum ini tidak bersuara kerana beliau merupakan salah seorang perunding utama memikul tanggungjawab yang menyelaraskan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
“Keputusan PRU15 adalah unik, seperti yang saya jangkakan tidak ada gabungan yang akan mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan sendiri tetapi Pakatan Harapan (PH) akan menjadi block yang terbesar.
“Lebih unik lagi, keputusan ini telah menyebabkan bahawa Perikatan Nasional (PN) atau PH pun tidak boleh membentuk kerajaan sendiri tanpa penyertaan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam perkongsian video itu.
Ujarnya, mana-mana gabungan memerlukan penyertaan BN untuk membentuk kerajaan dan walaupun PN berjaya mengumpulkan sokongan daripada parti lain selain daripada BN atau PH, PN juga tidak boleh membentuk kerajaan.
Dalam pada itu, Rafizi turut memaklumkan parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang menyekat ahli parlimen dari menyokong calon perdana menteri daripada parti yang lain tanpa mendapat keputusan parti masing-masing.
Bagaimanapun selepas keputusan PRU15 diumumkan, parlimen tergantung disebabkan tiada parti yang mendapat keputusan majoriti.
Rafizi berkata pada awalnya PN menolak sebarang kerjasama dijalinkan dengan PH untuk membentuk kerajaan hingga tercetusnya kebuntuan.
“Kebuntuan itu hanya ada jalan keluar apabila Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar gabungan-gabungan politik membentuk satu Kerajaan Perpaduan.
“Pada hari pengerusi PH dan pengerusi PN di panggil menghadap, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Hadi Awang dahulu yang dimaklumkan mengenai cadangan Kerajaan Perpaduan itu.
“Dalam satu borang persetujuan mereka terus menulis tidak bersetuju di atas draft persetujuan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan itu,” maklum Rafizi mengenai peristiwa yang telah berlaku tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan pengerusi PH pula memberi persetujuan dan akur untuk menjunjung titah YDPA dalam membentuk kerajaan.
“Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masuk menghadap dan juga turut akur dengan titah tuaku supaya BN tidak berkecuali dan turut sama membentuk Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pandan itu juga menjelaskan walaupun kerajaan boleh dibentuk dengan mudah semasa PRU15 namun ada hikmah kenapa ia berlaku sedemikian.
Ujarnya, PRU15 ini mendesak semua ahli politik untuk kembali bersama atas satu meja dan mengutamakan rakyat dengan memberi kestabilan politik agar kekal hingga lima tahun.
Untuk penerangan selanjutnya boleh tonton video Rafizi di TikTok miliknya seperti di bawah:
@rafiziramli #rafiziramli #pakatanharapan #barisannasional #anwaribrahim #perikatannasional #kerajaanperpaduan
Sumber: Rafizi Ramli/Tiktok
The post Rafizi Dedah ‘A To Z’ Macam Mana Kerjasama PH-BN Terbentuk Jadi Kerajaan, PRU15 Ada Hikmah appeared first on Siakap Keli.
