Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, dikatakan meluahkan hasrat untuk meletak jawatan selepas menyuarakan rasa kecewa terhadap sistem pemilihan parti yang dianggap tidak telus.
Perkara itu dilaporkan berlaku dalam satu pertemuan tertutup bersama penyokongnya pada 23 April lalu, sejurus selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR. Laporan Sinchew Daily memetik kenyataan seorang penyokong yang mendakwa Rafizi tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan parti dan sedang mempertimbang langkah seterusnya.
Difahamkan, Rafizi telah mengemukakan cadangan supaya satu audit dijalankan ke atas sistem pemilihan sedia ada, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk mendapatkan khidmat firma audit luar negara. Laporan audit itu dijangka siap dalam masa terdekat dan akan menjadi faktor penting dalam keputusan Rafizi.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada Rafizi sendiri. Namun, sumber parti menolak khabar angin bahawa beliau telah mengosongkan pejabatnya. Sebaliknya, Anwar mengesahkan Rafizi kini sedang bercuti selama sebulan sehingga 31 Mei dan menyifatkan perkara itu sebagai hal biasa bagi mana-mana pemimpin yang memerlukan ruang untuk berehat.
Beberapa isu berbangkit dalam pemilihan parti turut memberi tekanan, termasuk proses undian semula yang terpaksa dilakukan di cabang-cabang tertentu seperti Selayang, Jempol dan Pasir Salak, selepas keputusan asal dipertikaikan. Susulan itu, tarikh pencalonan MPP PKR juga ditunda daripada 3–4 Mei kepada 8–9 Mei.
Anwar dalam pada itu menegaskan, tiada apa-apa yang luar biasa mengenai cuti Rafizi dan menjelaskan bahawa beliau sendiri sedang mencari masa sesuai untuk bercuti. “Ia perkara biasa. Semua orang perlukan masa untuk berehat,” katanya.
Sumber: Malaysia Gazette
The post Rafizi luah hasrat letak jawatan, tak puas hati dengan pemilihan PKR? appeared first on The Reporter.

