
Rafizi, Nik Nazmi Serah Surat Letak Jawatan Ahli Parlimen
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini telah menghantar surat peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan serta Setiawangsa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.
"Dengan doa supaya Allah memberkati Malaysia dan setiap rakyat, sukacita saya memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa saya meletakkan jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan secara sukarela, berkuat kuasa hari ini, Isnin 18 Mei 2026," kata Rafizi.
Rafizi, Nik Nazmi Letak Jawatan Ahli Parlimen
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan Nik Nazmi yang juga bekas Naib Presiden PKR berkata menerusi kenyataan bersama, pengosongan kerusi Parlimen itu dibuat berikutan hasrat mereka berdua untuk meneroka hala tuju politik baharu
"Langkah yang tepat dan terhormat adalah memulangkan kembali mandat itu kepada pengundi-pengundi di parlimen Pandan dan Setiawangsa, memandangkan kami dipilih di atas tiket Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum yang lepas.
"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi Pandan dan Setiawangsa yang telah memilih kami mewakili mereka di Parlimen untuk dua penggal.
"Pusat Khidmat kami akan beroperasi seperti biasa untuk terus memberi bantuan dan khidmat kepada pengundi-pengundi.
"Kami juga akan kembali bertanding di parlimen Pandan dan Setiawangsa di atas platform BERSAMA dalam pilihanraya yang akan datang," maklum kenyataan berkenaan.
