Rafizi Tegas Akan Teruskan Protes Jika Kerajaan Tak Gantung Tugas Azam Baki

LocalPolitics
16 Feb 2026 • 10:06 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak minggu lalu, kecoh berhubung laporan agensi berita antarabangsa Bloomberg yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mempunyai pegangan saham sebanyak 17.7 juta dalam Velocity Capital Bhd bernilai RM800,000 pada 2025.

Selain itu, Bloomberg turut mendakwa Azam Baki campur tangan dalam satu kes polis membabitkan seorang individu yang didakwa kenalan rapatnya.

Susulan itu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi satu sidang media pada Jumaat lepas (13 Februari), menggesa pihak kerajaan untuk menjalankan siasatan yang bebas dan telus terhadap Azam.

Selain itu, beliau bersama lapan Ahli Parlimen blok kerajaan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) PKR juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggantung tugas Azam.

Namun menurut Anwar sebelum itu, setiap pihak perlu mendengar penjelasan daripada Azam sebelum apa-apa tuduhan dan gesaan dilontarkan, bahkan mengkritik pihak yang berkeras menggesa untuk memecat KP SPRM terbabit.

Baca Artikel Berkaitan: “Saya Tak Boleh Brain Macam Mana KP SPRM Boleh Keliru Pasal Saham?” – Rafizi Ramli [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Isu Saham: Azam Baki Hantar LOD, Tuntut Ganti Rugi RM100 Juta Dari Bloomberg

Baca Artikel Berkaitan: Dakwaan Dalam Laporan Bloomberg Tentang SPRM Adalah Serius – Rafizi [Video]

Baca Artikel Berkaitan: 8 Ahli Parlimen PKR Termasuk Rafizi Gesa PM Gantung Tugas Azam Baki, Segerakan Siasatan Bebas

Rafizi Gesa Azam Baki Digantung Tugas

Semalam (15 Februari), Rafizi bersama beberapa Ahli Parlimen telah menghadiri satu protes, Himpunan Tangkap Azam Baki yang dianjurkan di pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Memetik Sinar Harian, beberapa Ahli Parlimen PKR lain turut dilihat hadir antaranya, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahari Hassan dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Dalam demo itu, Rafizi menegaskan bahawa Azam Baki tidak sepatutnya terus memegang jawatan ekoran polemik pemilikan saham yang didedahkan oleh Bloomberg sebelum ini.

Untuk info, perhimpunan aman ini adalah antara tindakan yang dimaklumkan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat menzahirkan bantahan mereka mengenai penyelewengan yang berlaku di dalam SPRM.

Tambah beliau, protes yang dijalankan tersebut bertujuan untuk melihat sejauh mana reaksi kerajaan tentang kes yang sepatutnya dipandang serius, malah juga untuk melihat sama ada pihak berkuasa akan mulakan siasatan atau menggantung tugas Azam.

“Kalau kerajaan masih lagi tak mahu menggantung Azam dan tidak mahu adakan satu siasatan yang bebas dan telus, maka kita tidak ada pilihan lain kecuali untuk turun berkali-kali sehingga Azam turun,” kata Rafizi ketika berucap di Himpunan dan Lawan: #TangkapAzamBaki.

Rafizi Enggan Buat Laporan Polis, Tak Nak Kes Disiasat Sendiri Oleh SPRM

Sementara itu, Rafizi juga enggan membuat laporan mengenai laporan Bloomberg seperti mana dicabar oleh Azam sebelum ini dengan alasan siasatan akhirnya akan dijalankan oleh SPRM sendiri.

“Kalau kita buat laporan, akhirnya siapa yang akan siasat? Azam akan siasat Azam sahaja,” ujarnya.

Demo yang dihadiri oleh orang ramai itu adalah untuk menegakkan pendirian berhubung isu pemilikan saham oleh Azam. Anggota polis juga turut hadir bersama untuk memantau dan mengawal keadaan himpunan.

“Saya Tak Perlu Bercuti” – Azam Baki

Sebelum ini, Azam Baki menegaskan bahawa tiada keperluan untuk untuk beliau bercuti atau direhatkan susulan kekecohan mengenai dakwaan pemilikan saham jutaan ringgit itu.

Jelasnya dipetik laporan Kosmo, beliau akan menjalankan tugas seperti biasa dan tidak akan berehat daripada tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Itu terpulang (gesaan supaya bercuti dan berehat). Saya tak perlu bercuti. Kalau nak bercuti saya bagi tahu berapa ramai kena tuduh sekarang ni di mahkamah masih lagi bertugas?

“Ada orang jadi (bekas) Menteri Kewangan pun masih lagi dan dituduh menjadi Menteri Kewangan apa masalahnya? Saya ada kriminal (kes jenayah) ke?” tanya beliau.

Dalam pada itu, Azam juga memaklumkan bersedia memberi kerjasama terhadap Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat dakwaan ke atas dirinya.