
KUALA LUMPUR: Selepas gagal menjawab desakan agar membubarkan parti Bersama setelah kalah teruk dalam PRN Johor dan Melaka, Datuk Seri Rafizi Ramli mengalihkan perhatian dengan membuat tuduhan bahawa ada pihak yang membayar NGO dan pihak lain untuk menyerang beliau.
Pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, tindakan membuat tuduhan sedemikian tanpa mengemukakan bukti sudah sebati dan telah menjadi amalan Rafizi sejak sekian lama dan kali ini, dijadikan alasan untuk menutup desakan bagi membubarkan parti Kancil yang gagal teruk dalam dua PRN.
“Saya tidak terkejut melihat podcast Rafizi yang terbaru kerana amalan fitnah, adu-domba ini diibaratkan sudah sebati dengan beliau dan amalan seperti ini akan menjadi lebih kuat dan dahsyat selepas kekalahan demi kekalahan parti Kancil.
“Tetapi, apabila beliau tuduh bahawa pihak yang menyerang beliau ini dibayar oleh pihak tertentu tanpa kemukakan bukti, saya pula ingin bertanya Rafizi siapa yang membayar beliau untuk menyerang kerajaan dengan matlamat untuk menjatuhkan Pakatan Harapan terutama PKR pada PRU16.
“Saya tahu dia tidak akan berani menjawab soalan saya ini tetapi saya ingin rakyat berfikir bahawa Rafizi Ramli tidak akan mengeluarkan duit poketnya untuk menyerang kerajaan dan saya telah lama mengesyaki ada pihak yang membayar beliau,” jelasnya hari ini.
Sebelum ini, dalam podcast terbarunya, Rafizi Ramli mendakwa ada pihak tertentu yang membayar banyak NGO untuk mengadakan demonstrasi bagi menyerang beliau selain tindakan tersusun pelbagai pihak terutama AMK bagi menyerang parti Kancil sebelum dalam selepas PRN Melaka.
Sindir Rafizi Ramli lagi, beliau juga menjangkakan ada satu lagi demonstrasi oleh NGO di depan ibu pejabat Bersama bagi mendesak pihaknya unntuk membubarkan parti Kancil dalam masa yang terdekat tetapi tidak akan mendapat liputan meluas.
Mengulas lanjut, Lum Yong menambah, pihaknya akan terus menyerang Rafizi selepas ini sehingga beliau memutuskan untuk bersara daripada politik kerana beliau adalah toksik yang perlu dihapuskan demi kestabilan negara.
“Selagi adanya politikus bernama Rafizi ini, politik dan ekonomi negara tidak akan stabil kerana beliau merasakan hanya apa sahaja yang beliau fikirkan dan buat sahaja yang betul manakala yang lain semua salah,” katanya. – UTUSAN
The post Rafizi tuduh NGO dibayar, siapa pula bayar beliau serang kerajaan? – Pengasas PKR appeared first on Utusan Malaysia.






