Rahsia kilang lama terbongkar, RM3.47 juta kayu gaharu dirampas

5 Nov 2026 • 7:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rahsia kilang lama terbongkar, RM3.47 juta kayu gaharu dirampas
Simpanan kayu gaharu bernilai RM3.47 juta terbongkar selepas sepasukan anggota PGA menyerbu sebuah rumah yang turut mempunyai stor dan kilang lama di Chicha Tinggi, Pasir Mas pada Rabu. Foto PGA

PASIR MAS - Simpanan kayu gaharu bernilai RM3.47 juta terbongkar selepas sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah rumah yang turut mempunyai stor dan kilang lama di Chicha Tinggi di sini pada Rabu.

Serbuan menerusi Op Taring Wawasan kira-kira jam 5 petang itu membawa kepada penahanan dua wanita berusia 19 dan 54 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyimpanan kayu berkenaan tanpa lesen atau permit sah.

Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam operasi bersama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan itu, anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan turut menemukan sebanyak 197 batang kayu gaharu dan 310.8 kilogram (kg) kepingan kayu yang disyaki spesies berkenaan.

"Nilai rampasan kayu gaharu itu dianggarkan mencecah RM3,471,400.

"Pemeriksaan di rumah berkenaan turut menemukan barangan sama di bahagian stor serta sebuah kilang lama yang terletak bersebelahan premis berkenaan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Ujar beliau, pasukan serbuan turut merampas tujuh tong plastik dan 11 keping dokumen yang diragui berkaitan pemilikan kayu berkenaan.

Tambahnya lagi, siasatan awal mendapati lokasi itu pernah menjadi tempat latihan Jabatan Perhutanan Malaysia sekitar 2011 hingga 2015 sebelum dipercayai digunakan untuk aktiviti penyimpanan kayu gaharu.

Ahmad Radzi memberitahu, lebih mengejutkan, lokasi berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak tahun 2000 dan mempunyai lesen mengumpul kayu gaharu atas nama sebuah syarikat.

"Bagaimanapun siasatan mendapati kayu berkenaan diperoleh dari hutan dan tanah milik persendirian sekitar Kelantan sejak 2016 sebelum lesen atau permit pemindahan ditamatkan oleh Jabatan Perhutanan pada tahun sama.

"Pemilik asal kilang berkenaan, dilaporkan meninggal dunia pada 6 September lalu dan urusan menjaga serta menguruskan kayu gaharu terbabit kini dilakukan sepenuhnya oleh ahli keluarganya," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua wanita berkenaan ditahan untuk membantu siasatan sebelum tangkapan dan semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bagi tindakan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved