PMW International, STIDC bina kilang cerucuk RM50.25 juta di Tanjung Manis, Sarawak

LocalBusiness & Finance
26 Oct 2026 • 12:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PMW International, STIDC bina kilang cerucuk RM50.25 juta di Tanjung Manis, Sarawak Image from: PMW International, STIDC bina kilang cerucuk RM50.25 juta di Tanjung Manis, Sarawak hamden26/10/2026 - 12:52 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Okt - PMW International Berhad dan Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC) menerusi syarikat usaha sama PMW Winabumi (Sarawak) Sdn Bhd membangunkan kilang cerucuk dan tiang konkrit bernilai RM50.25 juta di Tanjung Manis, Sarawak, bagi memacu pertumbuhan perindustrian serta memperkukuh rantaian bekalan tempatan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, projek itu dijangka mewujudkan kira-kira 160 peluang pekerjaan secara langsung, selain membuka ruang kepada pembekal, kontraktor dan perniagaan sokongan tempatan untuk menyertai rantaian bekalan industri pembinaan dan infrastruktur.

 

Kilang yang dibangunkan di tapak seluas 29 ekar di sepanjang Sungai Rejang itu akan mengeluarkan produk konkrit prategasan untuk sektor pembinaan, infrastruktur dan utiliti.

 

Kilang berkenaan direka untuk menghasilkan 10,683 tan cerucuk dan tiang konkrit berputar setiap bulan, dengan operasi disasarkan bermula pada suku keempat 2027 dan pengeluaran penuh dijangka dicapai pada awal 2028.

 

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaburan itu mencerminkan keyakinan terhadap potensi ekonomi Sarawak, selain menyokong usaha memperkukuh sektor pembuatan dan mengembangkan industri hiliran.

 

Beliau yang juga Pengerusi STIDC berkata, kejayaan pelaburan tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai atau kapasiti pengeluaran semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira keupayaannya menjana nilai ekonomi, menyediakan pekerjaan dan membuka peluang perniagaan kepada syarikat tempatan.

 

"Pemindahan teknologi, perkongsian pengetahuan dan pembangunan tenaga kerja penting bagi memastikan pelaburan berkenaan memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat," katanya pada majlis pecah tanah projek berkenaan di Tanjung Manis .

 

Lebih 50% bahan untuk operasi kilang itu juga disasarkan diperoleh dari sumber tempatan, sekali gus berpotensi meningkatkan penyertaan syarikat Sarawak dalam aktiviti pembekalan dan perkhidmatan sokongan.

 

Artikel berkaitan: PMW International jalin kerjasama dengan STIDC bangunkan fasiliti pembuatan baharu di Tanjung Manis, Sarawak

 

Pengurus Besar STIDC, Datu Zainal Abidin Abdullah berkata, kilang berkenaan akan memperkukuh keupayaan pembuatan Tanjung Manis, selain menyediakan peluang kepada perniagaan tempatan untuk mengambil bahagian dalam rantaian bekalan perindustrian.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PMW International berkata, kerjasama dengan STIDC membolehkan syarikat membawa kepakaran dalam produk konkrit bersepadu, termasuk acuan, mesin dan reka bentuk kilang, ke Sarawak.

 

Kerjasama itu turut merangkumi pemindahan teknologi serta pembangunan kemahiran praktikal bagi meningkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan.

 

Produk kilang berkenaan dijangka menyokong pelbagai projek infrastruktur melibatkan utiliti, telekomunikasi, lebuh raya, jambatan dan pelabuhan, termasuk Lebuhraya Pan Borneo serta Jalan Penghubung Sabah-Sarawak (SSLR).

 

PMW International turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan STIDC dalam inisiatif pendidikan, latihan dan pembangunan kemahiran bagi memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved