Raikan Tahun Baharu Cina Di Pulau Pinang, Kepulangan Anwar Disambut Meriah

Politics
23 Jan 2023 • 4:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (empat, kiri) bersama Anwar Ibrahim (tiga, kiri) dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (dua, kiri) menggaul Yee Sang pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang di SPICE Arena - Gambar Bernama

GEORGE TOWN - Umpama ‘sirih pulang ke gagang’, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke negeri kelahirannya di Pulau Pinang bagi menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina dianjurkan kerajaan negeri berkenaan di Setia Spice Arena, Pulau Pinang.

Kehadiran Perdana Menteri menerima sambutan hangat daripada orang ramai yang teruja melihat kelibatnya, malah ramai tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan beliau.

Pemimpin kelahiran Cherok Tokun itu juga akan hadir memeriahkan majlis makan malam komuniti di Bukit Mertajam.

Beliau juga akan melawat Permatang Pauh yang dianggap sebagai ‘kubu kuat’ PKR, iaitu parti dipimpinnya.

Namun, anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar tewas di kawasan berkenaan kepada Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) , November tahun lalu.

Dalam ucapannya, Anwar menempelak tindakan pihak tertentu mengagihkan wang tunai di sebalik pengedaran risalah sebagai insentif pada PRU-15.

Beliau berkata, tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali walau apa istilah digunakan kerana ia tetap dianggap rasuah.

“Cukuplah. Sebelum ini, (mereka berkata) komisen sudah okey dan sekarang (mereka berkata) pemberian wang tidak salah (semasa pilihan raya). Ia tetap rasuah,” katanya.

Pada masa sama, Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, bagi memulihkan ekonomi, negara tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah.

Mengulas mengenai konsep Madani untuk negara, Anwar berkata, beliau mahu melihat lebih banyak elemen kemanusiaan di Malaysia.

“Keprihatinan dan belas kasihan adalah nilai perlu kita fokus untuk memerangi usaha radikalisasi atau membawa perkauman dalam kalangan kita,” katanya.

Anwar berkata, kekayaan dikecapi tidak bermakna apabila ada sebahagian masyarakat terpinggir dalam keadaan menyedihkan.

Pembangunan negara akan tergendala sekiranya terdapat sebahagian besar rakyat susah, seperti golongan B40 yang ketinggalan dalam agenda Pembangunan negara.

Tegasnya, manusiaan lebih penting daripada kekayaan atau status sosial, lebih-lebih lagi jika kadar pembangunan tidak seimbang. - The Vibes, 23 Januari 2023