
‘Raja Dadah Malaysia’ Akan Hadapi Pertuduhan Di Thailand – Ayob Khan
KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) — Lelaki dikenali sebagai ‘Raja Dadah Malaysia’ yang ditahan di Laos baru-baru ini akan menghadapi pertuduhan di Thailand, dan tiada cadangan untuk beliau diekstradisi ke Malaysia, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata lelaki berusia 41 tahun berasal dari Perak yang berkahwin dengan wanita Thailand itu dipercayai telah melakukan kegiatan menyeludup dadah sejak sekian lama.
“Mana-mana rakyat Malaysia di luar negara dan melanggar undang-undang negara terlibat kita serah kepada negara berkenaan untuk ambil tindakan,” katanya dalam sidang media pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama Polis Diraja Malaysia Bersama Universiti Kebangsaan Malaysia di Bukit Aman, di sini, hari ini.
“Biarlah lelaki itu hadapi pertuduhan di Thailand.. pihak berkuasa Thailand ada bukti mencukupi untuk ambil tindakan ke atasnya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan suspek yang dikehendaki polis Thailand kerana kesalahan menyeludup dadah ditahan dalam operasi bersama Thai-Laos pada 29 Dis lepas.
Penolong Ketua Polis Negara Pol Lt Jen Panurat Lakboon berkata Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) telah melakukan siasatan terhadap lelaki itu yang disyaki sebagai dalang utama dalam membekal dan menyelaras aktiviti dadah di kawasan Segitiga Emas sejak 2006.
Pasukan penyiasat mengenal pasti lelaki itu sebagai suspek utama di sebalik rampasan dadah pada Jun tahun lalu – rampasan membabitkan 998 kilogram methamphetamine kristal dan penahanan tujuh suspek di wilayah Ratchaburi, kata Panurat.
Sumber: BERNAMA
The post ‘Raja Dadah Malaysia’ Akan Hadapi Pertuduhan Di Thailand – Ayob Khan appeared first on Siakap Keli.


