POKOK SENA – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan menyantuni seramai 3,120 golongan asnaf di negeri ini melalui penyampaian sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) sempena Aidilfitri tahun ini.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIK berkenan turun padang ke Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Pokok Sena di sini bagi menyempurnakan sumbangan berupa wang tunai RM300 berserta kuih raya kepada 200 penerima terpilih pada Isnin.
Penerima sumbangan itu terdiri daripada empat kariah masjid iaitu Masjid An-Nur Pekan Pokok Sena, Masjid Al-Huda Kampung Pokok Sena, Masjid Ar-Raudhoh Kampung Sungai Durian dan Masjid Ar-Rahman Pokok Sena.
MAIK dalam satu kenyataan berkata, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pihaknya dalam memperkukuh jaringan sosioekonomi masyarakat Islam dengan menyalurkan bantuan kepada golongan fakir dan miskin, warga emas yang hidup bersendirian, ibu atau bapa tunggal serta orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan.
Menurutnya, jumlah keseluruhan sumbangan yang disalurkan tahun ini ialah RM644,000 dan melibatkan rangkaian 588 masjid di seluruh Kedah.
“Sumbangan berkenaan adalah amanah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan golongan yang memerlukan terus diberi perhatian, terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri.
“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menyambut Syawal agar mereka turut meraikan Aidilfitri dengan lebih bermakna,” katanya.


