Raja Muda lawat Panasonic dan Daikin di Osaka, perkukuh hubungan strategik

8 May 2025 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

OSAKA, 8 MEI: Usaha Selangor memperkukuh hubungan strategik dengan syarikat gergasi Jepun diteruskan menerusi kunjungan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor ke Panasonic Holdings Corporation dan Daikin Industries Ltd di sini hari ini.

Tengku Amir Shah diiringi EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris.

Keberangkatan tiba Baginda disambut mesra oleh barisan pengurusan tertinggi kedua-dua syarikat berkenaan.

image is not available
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat melawat Muzium Panasonic Holdings Corporation di Osaka, Jepun pada 8 Mei 2025. Turut mengiringi EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Di Muzium Panasonic, Tengku Amir Shah diberi taklimat mengenai pencapaian serta inovasi teknologi syarikat tersebut yang telah beroperasi di Malaysia sejak 1965.

Baginda turut menghadiri sesi pembentangan secara dalam talian bersama dua pegawai eksekutif Panasonic, Michiko Ogawa dan Junji Hosokawa, menzahirkan penghargaan atas sumbangan syarikat itu terhadap pertumbuhan ekonomi Selangor.

image is not available
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mendengar taklimat perniagaan bersama Pegawai Eksekutif Panasonic Holdings Corporation Michiko Ogawa dan Junji Hosokawa ketika melawat Muzium Panasonic Holdings Corporation di Osaka, Jepun pada 8 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sebagai simbol hubungan erat, Baginda menyampaikan cenderahati kepada pihak pengurusan Panasonic sebelum meneruskan lawatan ke Daikin Industries Ltd, pengeluar penyaman udara terkemuka dunia.

Sementara itu, ketibaan Baginda di pusat teknologi dan data Daikin disambut Eksekutif Kejuruteraan, Toru Inazuka. Baginda dibawa meninjau kemudahan serta diberi taklimat mengenai projek penyelidikan dan pelaburan syarikat itu, khususnya di Malaysia dan Selangor.

image is not available
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat melawat Pusat Teknologi Daikin Industries LTD di Osaka, Jepun pada 8 Mei 2025. Turut mengiringi EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Mengakhiri lawatan penuh bermakna itu, Tengku Amir Shah yang juga Pengerusi Selangor FC berkenan menyampaikan jersi rasmi pasukan Gergasi Merah Kuning kepada Toru Inazuka sebagai tanda penghargaan dan persahabatan, sebelum berangkat pulang pada jam 4.30 petang.

image is not available
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan jersi kelab Selangor FC kepada Pegawai Eksekutif Kejuteraan Toru Inazuka melawat Pusat Teknologi Daikin Industries LTD di Osaka, Jepun pada 8 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR