KUALA TERENGGANU - Kepulangan semula spesies penyu ikonik dan usaha pemindahan gajah liar membuktikan Terengganu kekal sebagai habitat penting yang selamat bagi pemuliharaan serta perlindungan hidupan liar.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran kedua-dua spesies berkenaan sebagai satu amanah besar yang perlu dipelihara demi kelangsungan untuk tatapan generasi akan datang.
"Ada tetamu yang kita tunggu bertahun-tahun, akhirnya pulang. Ada pula yang datang untuk kita berikan tempat yang lebih selamat.
"Selepas hampir sembilan tahun tidak direkodkan mendarat di Terengganu, ‘Raja Penyu’ kembali ke pantai kita. Penyu belimbing dipercayai mendarat dan bertelur di Pantai Gong Balai, Marang pada 1 September lalu.
"Sebanyak 44 biji telur ditemukan dan telah dipindahkan dengan selamat ke pusat penetasan di Rantau Abang," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, selepas kali terakhir dilihat pada 2017, gergasi laut yang semakin pupus itu kembali mendarat dan bertelur pada Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, kemunculan semula spesies penyu terbesar di dunia itu dilaporkan oleh kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu melalui analisis jejak merangkak fizikal bersaiz besar iaitu 2.1 meter lebar di atas pasir.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi berkenaan turut membawa kepada penemuan sarang telur spesies reptilia laut tersebut.
Tidak terhenti setakat itu, gajah liar jantan yang dikenali sebagai 'Sulong Chalil' juga telah dipindahkan ke Taman Negara Terengganu melalui pintu masuk Tasik Kenyir, kawasan habitat hutan semula jadi yang sesuai untuk haiwan berkenaan.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam kenyataan memaklumkan jabatan itu melaksanakan pemantauan dan usaha menyelamat, dengan pemindahan terbabit bertujuan menyediakan persekitaran lebih selamat serta mengurangkan risiko konflik dengan manusia dan kemalangan jalan raya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyifatkan kehadiran Sulong Chalil ke Terengganu sebagai 'tetamu' istimewa apabila gajah liar jantan dari Jalan Raya Timur-Barat itu kini telah dipindahkan ke penempatan baharu yang lebih sesuai.
"Dua cerita ini mengingatkan kita bahawa Terengganu bukan hanya kaya dengan keindahan alamnya, tetapi turut menjadi tempat penting untuk hidupan liar terus hidup dan dilindungi.
"Semoga Raja Penyu terus kembali ke pantai kita dan Sulong Chalil pula dapat menikmati kehidupan yang lebih aman di habitat baharunya. Alam ini bukan milik kita seorang.
"Ia amanah untuk kita pelihara supaya generasi akan datang masih dapat melihat sendiri khazanah yang sama," ujarnya.






