Raja Perempuan Kelantan cemar duli lawat mangsa banjir

LocalPolitics
3 Dec 2024 • 12:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tengku Anis (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penduduk terjejas.

image is not available
Tengku Anis (kanan) yang beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS SK Padang Pohon Tanjung, Tumpat.

image is not available
Barangan kelengkapan dan makanan juga disampaikan kepada mangsa banjir.

TUMPAT - Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkenan mencemar duli melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung di sini, pada Selasa.

Baginda tiba pada jam 10.45 pagi dengan diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat; Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Kelantan, Aswafaizole Abdul Wahab dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Kelantan, Mohd Adzhar Mujab.

Tengku Anis turut meluangkan masa selama 20 minit untuk beramah mesra dan berkenan menyampaikan barangan kelengkapan, makanan serta wang tunai kepada 225 mangsa banjir daripada 63 keluarga yang berlindung di PPS berkenaan.

**media[2913191]**

Sementara itu, seorang penduduk, Nor Anis Nabila Mazlan, 32, berkata, kawasan rumahnya sering dinaiki air pada musim tengkujuh dan banjir kali ini air naik sehingga 0.9 meter serta memasuki ke ruang dapur.

Dia sudah seminggu berlindung di PPS itu bersama suami, Mohd Zubir Mohd Ghazali, 47, serta tiga anak mereka dan akan pulang ke rumahnya di Kampung Kubang Batang di sini pada Selasa.

“Saya teruja dan berterima kasih atas kunjungan Raja Perempuan Kelantan yang prihatin atas kesusahan rakyat akibat ditimpa musibah banjir.

**media[2913193]**

“Hari ini air sudah semakin surut dan kami akan memulakan kerja pembersihan sekadarnya kerana bersedia dengan banjir gelombang kedua selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, kawasan kediaman penduduk di Pasir Pekan dilimpahi Sungai Kelantan setinggi hampir dua meter pada gelombang pertama bermula Rabu lalu.

“Keadaan cuaca cerah dua hari membantu air surut dan penduduk mula membersihkan kediaman masing-masing,” katanya.