Raja Permaisuri Agong Berkenan Kurnia Sijil Pandu Puteri Raja

27 Apr 2026 • 6:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan Sijil Pandu Puteri Raja kepada 61 ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di Istana Negara hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda yang merupakan Penaung Diraja PPPM ke Majlis Pengurniaan Sijil Pandu Puteri Raja itu diiringi Yang Dipertua PPPM Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng.

Sijil berkenaan dikurniakan kepada ahli PPPM atas pencapaian cemerlang dalam kepimpinan, khidmat masyarakat serta komitmen tinggi dalam menjunjung nilai dan prinsip pandu puteri.

Dr Wan Azizah dalam ucapan merafak sembah berkata pengiktirafan itu diharap menjadi pemangkin semangat kepada penerima untuk terus memanfaatkan nilai kepimpinan, menambah ilmu serta menyumbang kepada masyarakat, bangsa dan negara.

Beliau berkata dengan semangat, ilmu, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki, ahli PPPM berupaya menjadi insan bernilai dan memberi makna kepada kehidupan serta pembangunan negara.

"Pencapaian ini sesuatu yang amat berharga dan akan menjadi kenangan sepanjang hayat. Gunakanlah pengalaman ini untuk mengharungi cabaran masa depan dengan lebih yakin, sama ada di peringkat sekolah mahupun dalam kehidupan seterusnya.

"Majlis ini juga amat bermakna kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan serta menyaksikan kejayaan anak-anak mereka pada hari ini," katanya. - BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved