KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik hari ini.
Ucapan takziah itu dikongsikan menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Liong Sik, 83, yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA meninggal dunia pagi ini.
Bekas Presiden MCA itu antara tokoh veteran politik paling lama berkhidmat dalam Kabinet termasuk memegang portfolio Menteri Pengangkutan, selain menerajui MCA selama 17 tahun.
Mendiang pernah menjadi Ahli Parlimen Mata Kuching selama tiga penggal dari 1974 hingga 1982 serta Ahli Parlimen Labis selama empat penggal dari 1986 hingga 1999.
Sepanjang tempoh itu, beliau memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan termasuk Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri Penerangan, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Pendidikan.
Jawatan terakhir mendiang ialah sebagai Menteri Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 hingga meletak jawatan pada 2003.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook juga, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dedikasi, kepimpinan serta komitmen mendiang Liong Sik dalam kerajaan akan sentiasa dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Fahmi turut merakamkan ucapan takziah kepada Toh Puan Ong Ee Nah serta seluruh ahli keluarga bekas Presiden MCA itu atas pemergian seorang tokoh politik yang disifatkan amat berjasa kepada negara.
Beliau berkata, mendiang memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Malaysia sepanjang hayatnya, termasuk ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Penerangan dari 1976 hingga 1982.
"Semoga Toh Puan serta keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini," katanya. - Bernama
